Muhammad Apendy Issahak


BURUH didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini, atas dua pertuduhan menetak bapa kandungnya dengan parang serta menumbuk kakak kandungnya hingga cedera, Ahad lalu.

Bagaimanapun, tertuduh J Suresh, 36, atau nama mualafnya Muhammad Khairul Abdullah, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bapanya K Jeyaraman, 61, dengan menggunakan parang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A KK.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan.

Lelaki itu tutur didakwa atas pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada kakaknya, J Premma, 38, dengan menumbuknya.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah di Taman Muhibbah Jaya, Sungai Siput Utara, 12 tengah hari, pada 27 Oktober lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.

Hakim Rohaida kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin.

Beliau turut memerintahkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa.

Kes akan disebut semula pada 13 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 2:21 PM