GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
BERNAMA

SEORANG penjual aiskrim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan anak tirinya berusia empat tahun.

Tertuduh yang berusia 23 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan memukul di bahagian muka seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di sebuah apartmen, di Desa Aman Puri, Gombak pada 12 tengah hari 10 April lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, dan dia juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M.S Arunjothy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Izzy Aisyah Nabil memohon jaminan rendah dengan alasan dia menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 3:25 PM