ANTARA ahli sindiket yang ditahan dalam serbuan, baru-baru ini.
ANTARA ahli sindiket yang ditahan dalam serbuan, baru-baru ini.
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim


Johor Bahru: Namanya Haron dan sangat terkenal dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana lelaki jutawan itu yang berusia 40-an adalah ketua sindiket pemerdagangan manusia paling dikehendaki polis Malaysia.

Beliau bergiat aktif di sekitar Pengerang, Kota Tinggi dan dipercayai ‘taiko’ yang sangat licik kerana pernah berjaya meloloskan diri ketika operasi khas dilakukan Unit Antipemerdagangan Orang dan Unit Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Pengerang, awal tahun lalu.

Sumber memberitahu Harian Metro, Haron adalah warga Indonesia yang berasal dari Batam.

“Haron adalah tekong darat yang mengetuai sindiket paling berpengaruh di kawasan ini. Dia mampu mengaut jutaan ringgit setiap tahun hasil membawa masuk atau keluar PATI,” katanya.

Menurutnya, Haron bukan saja mempunyai puluhan ‘transporter’, sebaliknya dia turut mengupah pemberi maklumat dikenali sebagai ‘geng sapu air’.

“Haron juga mengupah ‘budak pantai’ dan ‘budak tarik’ bagi melancarkan usahanya menyusup masuk PATI di perairan itu terutamanya di Pantai Hijau dan Sungai Rengit,” katanya.

Memperincikan hierarki sindiket diketuai Haron, sumber itu berkata, Haron yang berperanan sebagai tekong darat mempunyai hubungan langsung dengan tekong laut yang berpangkalan di Pulau Batam ataupun Pulau Bintan, Indonesia.

“Lagipun dia (Haron) memang orang sana (Indonesia), jadi tiada masalah untuk menguruskan semuanya. Antara peranannya (Haron), dia akan menentukan pergerakan dan berhubung terus dengan tekong laut (di Indonesia) untuk proses membawa masuk ataupun keluar PATI,” katanya.

Sumber itu berkata, Haron dibantu ‘transporter’ iaitu tukang membawa kenderaan yang menjadikan beberapa hentian bas utama seperti di Skudai dan Larkin untuk membawa PATI ke kawasan Bandar Penawar.

“Setiap bayaran antara RM800 hingga RM1,500 sekepala akan diberikan kepada ‘transporter’ itu sebelum PATI masuk ke dalam kereta. Ini situasi untuk membawa PATI keluar dari Malaysia,” katanya.

Katanya, PATI kemudian akan ditinggalkan di tepi jalan sekitar Sungai Rengit, di sini, sebelum dipandu arah oleh budak tarik ke kawasan penampungan di ladang kelapa sawit.

“Penampungan itu merujuk kepada penempatan haram yang dijadikan transit sementara mereka dibawa ke pesisir pantai manakala budak pantai pula hanyalah berperanan untuk memberikan isyarat kepada tekong bot sama ada kawasan itu selamat ataupun sebaliknya,” katanya.

Tambahnya, jika keadaan selamat, budak tarik akan membawa semua PATI bergerak dalam kegelapan malam menggunakan tali panjang yang jaraknya lebih tiga kilometer (km) ke pantai.

“Sebaik bot datang, mereka akan disusun sebelum dibawa pulang ke Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Taktikal PPM Wilayah 2 Pengerang Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sehingga kini pihaknya sudah menumpaskan lebih 15 tekong darat mahupun laut.

“Maklumat risikan mendapati terdapat dua tekong darat yang masih aktif dan dikehendaki (PPM) kerana aktif melakukan kegiatan ini (penyeludupan PATI),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 10:25 AM