Mohd Firdaus Ibrahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Dengan bayaran RM3,000 satu kepala, sindiket penyeludupan migran kini menyediakan 'pakej wajib sampai' kepada pendatang asing yang mahu menyusup masuk ke negara ini.

Pakej RM3,000 itu merangkumi proses penyusupan warga asing dari sempadan Malaysia-Thailand, transit, penghantaran dari utara tanah air ke ibu kota dan pekerjaan.

Sindiket didalangi warga Thailand yang berpangkalan di negara gajah putih itu dilapor menjadikan laluan tikus di Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk melakukan kegiatan haram berkenaan.

Harian Metro difahamkan, bagi melicinkan proses penyusupan dari Thailand ke negara ini, sindiket akan mengumpulkan warga asing terbabit di Hatyai sebagai lokasi transit sebelum digerakkan ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa pula, sindiket kini menggerakkan proses penyusupan warga asing terbabit dalam kumpulan kecil tidak lebih dari 10 orang pada satu masa.

Sindiket kemudiannya akan menyembunyikan warga asing terbabit dalam hutan berhampiran sempadan dalam kawasan Malaysia selepas berjaya diseludup sebelum mereka dihantar transporter ke ibu negara.

Kelicikan sindiket terbabit bagaimanapun berakhir apabila Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman menghidu proses penghantaran warga asing dari Kedah ke ibu kota sebelum satu serbuan dilakukan di rumah kedai tiga tingkat di Pudu, di sini.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.40 pagi semalam itu, D3 berjaya menahan 10 warga Myanmar termasuk seorang wanita yang baharu tiba di negara ini selain penjaga rumah berkenaan.

Penahanan semua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu disahkan Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus yang memaklumkan kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket dipercayai menyeludup migran di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di utara tanah air.

"Mereka disembunyikan di kawasan ladang kelapa sawit terlebih dahulu sebelum dijemput transporter untuk dihantar ke ibu kota.

"Warga asing atau migran ini mendakwa membayar RM3,000 setiap seorang kepada ejen di kampung mereka untuk dibawa ke negara ini," katanya.

Fadil berkata, siasatan awal juga mendapati kumpulan warga asing terbabit memasuki negara ini untuk mendapatkan pekerjaan sebagai buruh dan pembantu kedai makan di ibu kota.

"Malah lapan daripada mereka juga mendakwa pernah memasuki negara ini dan bekerja sebagai buruh atau pembantu kedai makan," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya sudah mengenalpasti dalang sindiket itu, Fadil berkata, siasatan mengenainya sedang dilakukan.

Katanya, semua warga asing termasuk penjaga yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Biarpun berdepan kekangan ketika pandemik Covid-19 menghantui negara ketika ini, pihaknya tetap bersiap siaga untuk memastikan kegiatan penyeludupan migran dibanteras.

"Ini penting kerana kita tidak mahu migran yang diseludup ke negara ini menyebarkan virus sekali gus membahayakan nyawa rakyat Malaysia.

"Saya juga menyeru masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan jenayah termasuk penyeludupan migran di kawasan masing-masing kerana ia adalah tanggungjawab kita setiap rakyat Malaysia," katanya.

  • Sanggup jelajah 2,000km nak menyelinap masuk Malaysia

    Kuala Lumpur: 'Menjelajah' lebih 2,000 kilometer (km) dari kampung di utara Myanmar dengan harapan untuk menyelinap masuk ke Malaysia.

    Malah, 10 warga asing terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita ini perlu bermalam selama lapan hari sebelum mendapat 'lampu hijau' dari ejen untuk masuk ke negara ini.

    Seorang lelaki yang ditahan Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman mengakui menggunakan khidmat ejen yang berjanji untuk memberikannya pekerjaan di negara ini.

    Menurutnya, ketiadaan kerja di negara asal menyebabkan mereka nekad menyusup masuk walaupun sedar ia tindakan yang melanggar undang-undang.

    Katanya, dengan bayaran sebanyak RM3,000 mereka dibawa dari kampung halaman menerusi Hatyai, Thailand seterusnya diseludup masuk di Bukit Kayu Hitam.

    "Kami bersembunyi dalam hutan selama lapan hari sebelum dijemput 'transporter'di sebuah ladang kelapa sawit.

    "Malam tadi (kelmarin) kami berhimpit di dalam kenderaan menuju terus ke Kuala Lumpur dan disambut oleh seorang lagi lelaki Myanmar yang sudah dihubungi ejen.

    "Saya mahu cari kerja di sini (Malaysia) kerana di sana tiada kerja kerana Covid-19 sejak lebih setahun lalu," katanya ketika ditemui selepas ditahan pihak berkuasa di sebuah rumah kedai tiga tingkat yang dipercayai dijadikan rumah penampungan di Pudu, di sini, semalam.

    Sementara itu, seorang lelaki Myanmar yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan berkenaan berkata, dia sudah menetap di Malaysia selama 10 tahun.

    Dalam keadaan berdolak dalih, dia mengakui hanya membantu rakan sekampung mencari kerja di Malaysia tanpa mengenali ejen yang mengatur penyeludupan masuk rakannya itu.

    "Mereka (warga asing yang ditahan) kawan sekampung dan saya hanya bantu mereka untuk cari kerja. Saya tidak kenal ejen dan nombor telefon saya mereka yang berikan untuk memudahkan ejen menghantar mereka ke sini," katanya.

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 7:00 AM
    SEBAHAGIAN daripada pendatang asing tyang ditahan dalam satu serbuan dilakukan di rumah kedai tiga tingkat di Pudu, Kuala Lumpur.
    SEBAHAGIAN daripada pendatang asing tyang ditahan dalam satu serbuan dilakukan di rumah kedai tiga tingkat di Pudu, Kuala Lumpur.