Antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diperiksa dalam Ops Mega 3.0 di Kelantan. FOTO Ihsan Imigresen Kelantan.
Antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diperiksa dalam Ops Mega 3.0 di Kelantan. FOTO Ihsan Imigresen Kelantan.
Siti Rohana Idris


TERPAKSA berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer di sebuah ladang kelapa sawit di Paloh 3, Gua Musang awal pagi ini.

Demikian pengalaman dilalui sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan.

Mereka berbuat demikian untuk menyerbu pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah penempatan tiga rumah kongsi yang terletak di dalam hutan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kelantan, Penolong Pengarah, Ruzaana Mohamed berkata, pihaknya terpaksa berjalan kaki disebabkan kenderaan tidak dapat memasuki laluan ke penempatan itu.

“Serbuan jam 2.45 pagi menemui tiga rumah kongsi yang dibina di tepi sungai di dalam hutan sekitar ladang kelapa sawit itu.

“Lokasi itu agak sukar dikesan memandangkan jauh tersorok di dalam hutan namun pihak kami sudah menerima maklumat awal serta risikan dibuat terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam serbuan itu Imigresen menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta dua lelaki Indonesia yang juga pekerja ladang kelapa sawit itu.

Ketika serbuan semua PATI sedang tidur dan tidak sempat melarikan diri malah semasa pemeriksaan dibuat, mereka turut memberikan kerjasama.

Ruzaana berkata, Ops Mega 3.0 (Sapu) yang bermula jam 2.45 hingga 5.30 pagi membabitkan lima lokasi serbuan iaitu sekitar Paloh 3, Felda Chiku 3 dan Kampung Sungai Sam.

Seramai 40 warga asing diperiksa dan mereka berusia antara 16 hingga 46 tahun.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 7:33 PM