Pemandu lori ditahan bersama 700 liter petrol bersubsidi dalam satu serbuan menerusi Ops Tiris, di sebuah stesen minyak di sini. FOTO IHSAN KPDN​
Pemandu lori ditahan bersama 700 liter petrol bersubsidi dalam satu serbuan menerusi Ops Tiris, di sebuah stesen minyak di sini. FOTO IHSAN KPDN​
Zuhainy Zulkiffli


Bukit Mertajam: Pemandu lori ditahan bersama 700 liter petrol bersubsidi dalam satu serbuan menerusi Ops Tiris, hari ini, di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Rambai, di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri, S Jegan berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa kira-kira jam 5 pagi itu dijalankan susulan hasil maklumat risikan.

Katanya, terdahulu pihaknya menjalankan serbuan ke atas stesen minyak berkenaan sebelum menemukan sebuah lori yang mengisi bahan api itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati motor pam serta hos paip berada dalam keadaan bersambung dan kita syaki berlaku pemindahan minyak petrol dari pam terus ke dalam tangki 'Intermediate Bulk Container' (IBC).

"Didapati pemandu lori yang juga warga tempatan berusia 47 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit bagi penyimpanan barang kawalan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Jegan berkata, pihaknya turut merampas sebanyak enam unit tangki IBC, 1 set motor pam dan paip bagi disita serta tindakan lanjut.

Katanya, nilai rampasan minyak petrol adalah dianggarkan sebanyak RM1,435.00 menjadikan nilai anggaran barangan rampasan keseluruhan berjumlah RM23,135.00.

Pihaknya sudah merakam keterangan pemandu dan siasatan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 112] bagi mengenalpasti individu atau syarikat lain yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan itu serta rantaian pengedaran bahan api petrol berkenaan.

BUKIT MERTAJAM 25 JUN 2024.Pemandu lori ditahan bersama 700 liter petrol bersubsidi dalam satu serbuan menerusi Ops Tiris, di sebuah stesen minyak di sini. NSTP/ FOTO IHSAN KPDN​

From: Nini

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 5:08 PM