Siti Rohana Idris


Jeli: Kemunculan tiga kereta di sebuah stesen minyak di Batu Melintang di sini, pada jam 5 pagi semalam, membongkar kegiatan penyeludupan petrol ke negara jiran.

Kenderaan itu daripada jenis Proton Iswara, Wira dan Toyota LE dilihat mengisi minyak ke dalam tong di dalam kereta masing-masing.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, sepasukan anggotanya melakukan rondaan di kawasan berdekatan sebelum mengesan kenderaan terbabit dengan tiga pemandu, bergelap di stesen minyak itu.

"Terdapat juga seorang wanita dipercayai isteri salah seorang pemandu, dan mereka didapati mengisi petrol di stesen minyak berkenaan yang masih belum beroperasi kerana waktu operasi bermula jam 6 pagi.

"Pemeriksaan menemukan 59 tong berisi 1,740 liter petrol bernilai RM6,858.30," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini, hari ini.

Ahmad berkata, dalam soal siasat awal, suspek mengaku petrol berkenaan akan diseludup ke Thailand menerusi jalan sungai, disebabkan permintaan tinggi dan dijual pada harga sekali ganda lebih mahal.

Katanya, semua suspek berusia 30 hingga 35 tahun dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Empat kompaun dikeluarkan ke atas mereka mengikut Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan dan satu lagi kompaun dikenakan ke atas pemilik stesen minyak itu yang beroperasi melebihi tempoh masa.

"Tiga lagi saman dikeluarkan di bawah Seksyen 26(1), 15(1) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Daerah Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, siasatan pihaknya mendapati hasil jualan stesen minyak itu meningkat mendadak pada Januari iaitu RM130,000.

"Secara purata, setiap stesen minyak memperoleh sekitar RM70,000 sebulan, namun terdapat peningkatan sekali ganda pada Januari lalu untuk stesen minyak terbabit.

"Kita boleh tahu mana-mana stesen minyak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran melalui hasil jualan dan pihak kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini," katanya.

Tiga kenderaan jenis Proton Iswara, Wira dan Toyota LE dikesan menemui 59 tong berisi minyak petrol dengan kandungan 1,740 liter yang dianggarkan bernilai RM6,858.30 sekaligus membongkarkan aktiviti penyeludupan minyak petrol. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tiga kenderaan jenis Proton Iswara, Wira dan Toyota LE dikesan menemui 59 tong berisi minyak petrol dengan kandungan 1,740 liter yang dianggarkan bernilai RM6,858.30 sekaligus membongkarkan aktiviti penyeludupan minyak petrol. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 4:49 PM