ANJING yang dianiayai pihak tertentu. FOTO ihsan Shazreen Othuman
ANJING yang dianiayai pihak tertentu. FOTO ihsan Shazreen Othuman
Redzuan Muharam


KEJAM dan keterlaluan. Begitu gambaran perbuatan individu yang mengecat badan seekor anjing dengan berwarna hijau di Subang Bestari, Shah Alam.

Kisah haiwan malang itu tular selepas dimuat naik kaunselor pelajar, Shazreen Othuman, 31, di Facebook (FB) miliknya, 11 November lalu.

Perkongsian Shazreen itu mendapat perhatian warganet yang rata-rata meluahkan rasa simpati serta geram dengan tindakan individu yang menganiaya anjing berkenaan.

Bercerita lanjut, Shazreen berkata, gambar berkenaan diambil sewaktu terserempak dengan anjing itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang.

“Saya ternampak anjing itu ketika sedang memandu untuk pulang ke rumah dan memberhentikan kenderaan di bahu jalan selepas melihat warna badannya yang pelik berbanding biasa.

“Ketika itu, anjing berkenaan sedang mengorek sampah dan seolah-olah ketakutan selepas saya datang menghampirinya.

“Namun, saya sempat mengambil gambarnya dan memuat naik di FB dengan niat meminta bantuan seandainya ada pihak atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu menyelamatkan anjing itu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka perkongsian itu menjadi tular dan ramai yang menghantar kiriman mesej bertanyakan lebih lanjut kerana mahu membantu anjing berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang prihatin dan jujurnya, saya sedih kerana ada yang tergamak bertindak sebegitu tanpa memikirkan tindakan mereka boleh mengakibatkan kesan alahan atau masalah kesihatan kepada haiwan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) Arie Dwi Andika berkata, beliau sudah membuat aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, Arie turut melakukan tinjauan di kawasan terbabit tetapi belum dapat mengesan anjing berkenaan namun mengesyaki pelakunya adalah kakitangan sebuah syarikat perusahaan berhampiran berdasarkan maklumat awal yang diterima.

“Mengecat badan haiwan bukan hiburan sebaliknya satu kesalahan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana termasuk dalam kategori penganiayaan yang boleh membawa kesan mudarat kepada kesihatan.

“Justeru, saya berharap tindakan itu dihentikan bukan saja kepada anjing malah haiwan lain kerana saya perhatian budaya ini semakin menjadi-jadi terutama ketika musim pilihan raya,” katanya.

Arie berkata, setakat Oktober lalu, pihaknya menerima 30 aduan membabitkan penderaan haiwan dengan lima daripadanya berkaitan mengecat badan anjing, kucing, lembu dan kerbau.

“Apa yang kita boleh lakukan ialah memanjangkan aduan berkenaan kepada pihak berkuasa iaitu JPV untuk haiwan domestik, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi haiwan liar dan Jabatan Perikanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 8:57 PM