POLIS melakukan pemeriksaan keatas kenderaan. FOTO IHSAN PDRM
POLIS melakukan pemeriksaan keatas kenderaan. FOTO IHSAN PDRM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 11 pemandu di negeri ini ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan dalam operasi bersepadu dijalankan, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, Ops Mabuk dan Samseng Jalanan itu dijalankan serentak di seluruh negeri ini bermula jam 10 malam hingga 1.30 pagi tadi.

Katanya, operasi itu menjadi fokus utama JSPT Johor bagi mengambil tindakan tegas terhadap 'kaki mabuk' dan 'kaki rempit' yang masih tidak serik serta terus melanggar undang-undang sekali gus merisikokan pengguna jalan raya lain.

"Operasi kali ini dijalankan secara serentak di semua formasi kontinjen Johor bagi memberi tumpuan khusus pada isu mabuk dan samseng jalanan membabitkan kekuatan 16 pegawai dan 83 anggota.

"Hasil operasi yang dijalankan menerusi sekatan jalan raya (SJR) di lokasi terancang berjaya menahan 11 individu berusia antara 27 hingga 53 tahun, atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Bagi Ops Samseng Jalanan pula, hasil pemeriksaan dan pemantauan terhadap kumpulan motosikal bagi pencegahan aktiviti 'rempit' dalam kalangan remaja pula, sebanyak 17 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kumasaran berkata, sebanyak 230 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, saman berkenaan dikeluarkan hasil pemeriksaan membabitkan 736 individu dan 573 kenderaan yang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 12:18 PM