DATUK Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. FOTO Aizuddin Saad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyatakan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang tidak terhenti apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecatnya setelah namanya dikeluarkan daripada senarai keahlian dengan memetik Perkara 49A(2)(C) Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu dalam satu kenyataan berkata, Perkara 49A(2) telah menyatakan dengan jelas bahawa terdapat tiga bentuk tindakan daripada pihak ketiga yang tidak langsung menjejaskan kedudukan seorang Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, tiga tindakan itu adalah pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya, pelepasan keanggotaan daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang Dipertua dan pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

"Muslihat Bersatu apabila membuat pindaan perlembagaan parti untuk memecat keanggotaan saya, membuat ugutan terbuka seperti yang dilakukan oleh pimpinan kanan parti kepada saya serta siri keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang mencari ikhtiar menggugurkan keanggotaan saya adalah satu tindakan bersifat 'constructive dismissal'.

"Apabila Bersatu menghantar notis rasmi mereka sudah mengeluarkan nama saya dari senarai keahlian Bersatu, ini bermakna mereka telah mengambil tindakan untuk memecat saya.

"Perkara 49A(2)(c) telah jelas menyatakan bahawa kedudukan saya selaku Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti apabila Bersatu memecat saya daripada keanggotaan parti setelah nama saya dikeluarkan daripada senarai keahlian," katanya sambil mengakui telah menerima satu notis memaklumkan namanya telah dikeluarkan daripada sistem keahlian Bersatu semalam.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilapor menyatakan notis terhenti serta-merta keahlian parti telah diserahkan kepada enam wakil rakyat Bersatu kerana didakwa melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

Hamzah dipetik berkata, tindakan itu selaras dengan arahan MPT parti yang bermesyuarat pada 7 Jun lepas dan telah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat kelmarin.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin mendakwa, pindaan Perlembagaan Bersatu yang sengaja dibuat untuk memecat keahliannya itu mempunyai unsur berniat jahat serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan

"Keabsahan pindaan Perlembagaan Bersatu bersabit kedudukan Ahli Dewan Rakyat adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, bukan sebaliknya.

"Dengan itu, pindaan Perlembagaan Bersatu itu tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan saya sebagai Ahli Dewan Rakyat," katanya.

Beliau turut menaruh keyakinan tinggi kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk membuat keputusan mengenainya.

"Saya percaya beliau akan menggunakan sepenuh kebijaksanaan untuk membuat keputusan bahawa notis yang dihantar oleh Bersatu itu telah mengesahkan saya telah dipecat secara rasmi dan kini menjadi Ahli Dewan Rakyat bebas.

"Tindakan Bersatu memecat saya itu tidak menghentikan kedudukan saya selaku Ahli Dewan Rakyat yang mewajarkan saya untuk mengosongkan kerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 3:21 PM