FUNGSI MRI untuk menghasilkan imej struktur dalaman badan.
FUNGSI MRI untuk menghasilkan imej struktur dalaman badan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PENGIMEJAN resonans magnet (MRI) ialah prosedur pengimejan menggunakan medan magnet dan gelombang radio yang kuat untuk menghasilkan imej struktur dalaman badan.

Pengimbas MRI yang lebih maju seperti pengimbas MRI 3T mengandungi medan magnet lebih tinggi berbanding 1.5T.

Medan magnet kuat ini boleh menjejaskan implan perubatan yang mengandungi logam atau magnet.

Jururadiografi Hospital Pakar KPJ, Puteri Nur Sabrina Mohd Istani berkata, setiap mesin MRI mempunyai risiko kepada pesakit dengan implan logam tertanam dalam badan, tanpa mengira jumlah medan magnet yang dikenakan daripada pengimbas.

Menurutnya, pesakit, penjaga, penyedia penjagaan kesihatan dan ahli teknologi resonans magnet (MR) perlu mengetahui risiko serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kejadian buruk yang mungkin berlaku dalam persekitaran MRI.

"Implan adalah biomaterial yang dimasukkan dalam atau pada permukaan badan pesakit untuk tujuan rawatan.

"Ia semakin penting dalam perubatan terutama dalam rawatan ortopedik. Banyak implan adalah prostetik bertujuan untuk menggantikan bahagian badan yang hilang.

"Ia diperbuat daripada keluli tahan karat, logam ferus dan sangat berkesan kepada medan magnet yang kuat," katanya.

Puteri Nur Sabrina berkata, peranti perubatan elektronik juga dianggap sebagai implan yang dibuat untuk memberikan sokongan kepada organ dan tisu. Sesetengah implan tidak sesuai untuk pengimbas MRI.

Katanya, pesakit dengan implan logam tidak boleh memasuki bilik MRI tanpa memberitahu ahli teknologi MR, jika mereka mempunyai mana-mana implan berkenaan.

PUTERI Nur Sabrina
PUTERI Nur Sabrina

"Pertama ialah implan koklea (telinga) atau alat bantu pendengaran, injap jantung tiruan, pam infusi ubat yang diimplan, anggota tiruan atau prostesis sendi logam dan klip aneurisme otak.

"Implan seterusnya adalah gegelung logam/stent diletakkan dalam saluran darah, pin logam, skru, plat, stent atau kokot pembedahan, beberapa alat pencegahan dalam rahim (IUD), neurostimulator atau peranti boleh atur cara yang ditanam dan defibrilator jantung serta perentak jantung," katanya.

Puteri Nur Sabrina berkata, interaksi antara medan magnet yang kuat dan implan logam boleh mengakibatkan beberapa kesan buruk kepada pesakit dengan implan berkenaan.

Jelasnya, kesan buruk dan risiko pertama termasuk sakit dan ketidakselesaan ketika dan selepas imbasan. Kesan kedua ialah bengkak atau kerosakan kulit pada magnet implan.

"Kesan buruk ketiga adalah terasa panas atau terbakar di tapak implan, kesan seterusnya ialah implan logam dialihkan daripada tapak pembedahan dan kesan terakhir ialah kehilangan fungsi peranti sepenuhnya atau sebahagian.

"Disebabkan kebimbangan yang tinggi terhadap kesan buruk berkaitan dengan implan logam dalam MRI, implan logam lebih baharu diperbuat daripada bahan bukan ferus digunakan secara meluas," katanya.

Kata Puteri Nur Sabrina, bahan-bahannya diperbuat daripada aloi titanium. Ia pilihan selamat dan terbukti serasi dengan MR.

"Selain itu, implan yang lebih baharu dilabelkan dengan penarafan untuk keselamatan MRI.

"Label MR tidak selamat bermaksud pesakit tidak perlu menjalani pemeriksaan MRI ketika menjalani implan.

"Manakala label 'MR Conditional/Safe' bermaksud pesakit boleh menjalani pemeriksaan MRI di bawah keadaan tertentu," katanya.

Puteri Nur Sabrina berkata, implan dengan label bersyarat MR meminimumkan kejadian buruk pemanasan tisu, tetapi mempunyai kesan ke atas kualiti imej kerana implan menyebabkan kehilangan isyarat di sekeliling tisu.

"Beberapa implan atau peranti terkini belum diuji atau dilabelkan untuk keserasian MRI.

"Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan maklumat mengenai implan dengan doktor yang meletakkan implan sebelum menjalani prosedur MRI.

"Pesakit yang memerlukan MRI mesti memberitahu penyedia penjagaan kesihatan dan ahli teknologi MR mengenai implan logam supaya mereka boleh mengambil langkah berjaga-jaga dan pemeriksaan implan sebelum membenarkan MRI dilakukan," katanya.

Katanya lagi, sekiranya pesakit mengalami salah satu kesan buruk yang berkaitan dengan implan logam ketika imbasan, adalah diingatkan supaya pesakit segera melaporkan kepada pakar teknologi MR dengan membunyikan butang kecemasan yang diberikan sebelum imbasan.

Tambahnya, penyedia penjagaan kesihatan dan teknologi MR boleh mempertimbangkan jenis pengimejan lain jika sesuai secara klinikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 6:20 AM