Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Oleh Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Tidak mustahil ada dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang tergolong dalam kalangan B40 kerana terpaksa mengorbankan separuh daripada gaji demi memenuhi amanah kepada rakyat.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, biarpun kekangan itu tidak membataskan wakil rakyat pembangkang termasuk dirinya untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi tindakan itu seolah menafikan hak mereka.

"Apabila dalam keadaan Ahli Parlimen dinafikan hak untuk mendapatkan peruntukan, apakah lagi sumber yang boleh digunakan?

"Untuk menunaikan amanat kepada rakyat, kami guna elaun dan gaji sendiri sedangkan kita pun tahu Ahli Parlimen kerajaan diberikan peruntukan RM38 juta setiap tahun tapi kami Ahli Parlimen pembangkang tidak diberi walau satu sen pun.

"Soal (Ahli Parlimen) jadi B40 atau tak kita masih belum buat kajian tapi ia tidak mustahil kerana bayangkan setiap tahun, setiap bulan kita terpaksa mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk menampung derita rakyat," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan segelintir ahli Parlimen yang mempertikaikan usaha kerajaan melaksanakan perubahan termasuk dalam penyasaran subsidi serta skim pencen kerana mendakwa dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan B40.

Ahmad Fadhli terdahulu hadir di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, di sini bagi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin bagi meninjau masalah gangguan bekalan air.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fadhli yang juga ahli Parlimen PAS menyambut baik keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang meluluskan pindaan usul pindaan Perlembagaan BERSATU.

Beliau berkata, tiada penyelesaian yang terbaik melainkan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di semua kawasan yang dikhianati oleh Ahli Parlimen malah yakin Bersatu akan dapat menyelesaikan konflik yang dihadapi.

"Kita harap BERSATU akan dapat menyusun bagaimanakah cara dan kaedahnya tersendiri dan kita yakin dengan kemampuan Bersatu untuk menyelesaikan konflik ini.

"Bagi kita tiada penyelesaian yang terbaik melainkan diadakan PRK di semua 46 kawasan yang dikhianati oleh Ahli Parlimen mereka masing-masing termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Selat Klang.

"Bagi pihak PAS, saya ucapkan tahniah pada Bersatu. Kita sentiasa bersiap sedia dan tahu bahawa akyat sekarang ini Insya-Allah akan menolak kerajaan PH-BN dan akan ditunjukkan dalam PRK nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 11:33 AM