MUHYIDDIN  beramah mesra dengan ahli jawatankuasa Masjid Jamek Al-Hidayah Jalan Baharu selepas menunaikan solat Zuhur bersama masyarakat setempat.
MUHYIDDIN beramah mesra dengan ahli jawatankuasa Masjid Jamek Al-Hidayah Jalan Baharu selepas menunaikan solat Zuhur bersama masyarakat setempat.
Oleh Hairulazim Mahmud dan Shamsul Munir Safini

Seberang Jaya : “Kalau uruskan Kajang, dia (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kata akan beri Menteri Besar Selangor sebagai Timbalan (Presiden PKR) kalau begitu tak perlu bertanding di sana letak saja (Mohamed) Azmin (Ali), tiada wakil rakyat,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sedangkan ketika bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dulu Presiden PKR itu berkata, mahu menyelesaikan masalah rakyat, banjir dan sebagainya.

Beliau berkata, tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Selangor itu amat besar, lebih-lebih lagi Wan Azizah adalah pemimpin pakatan pembangkang.

“Kalau boleh dia bagi dalil begitu, maka kita tanyalah penduduk Permatang Pauh, adakah mereka mahu wakil rakyat mereka yang menjaga di Kajang lepas itu, sebulan sekali datang ke sini.

“Kerana itu pilihan ialah wakil rakyat sepenuh masa seperti calon kita Suhaimi Sabudin,” kata beliau pada sidang media selepas melancarkan projek naik taraf Hospital Seberang Jaya bernilai RM400 juta di sini, semalam.

Sebaliknya, katanya, selaku calon yang juga ADUN Kajang, beliau masih boleh memberi perkhidmatan baik kepada penduduk Kajang dengan bantuan kerajaan pimpinan PKR di negeri berkenaan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berasa sangsi tentang keupayaan calon PKR itu memberikan perhatian sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah rakyat Permatang Pauh.

“Beliau tidak mungkin ada masa yang cukup. Kalau Suhaimi di sini, saya kata awak duduk di sini rumah pun dalam kawasan, masalah banjir, pembangunan, kemudahan kesihatan, isu ekonomi, peluang perkerjaan pastinya dengan jumlah pengundi lebih 71,000 orang di sini, memerlukan wakil rakyat yang sepenuh masa yang boleh beri tumpuan di sini.

“Itu jauh lebih baik berbanding Wan Azizah yang tiada masa langsung dan kita pun tahu rekod di Kajang, beliau tak turun ke bawah pun, menang tapi tak jalankan tugas,” kata beliau.

Sebelum itu, beliau mengimamkan solat Zuhur di Masjid Jamek Al-Hidayah Jalan Baharu di sini dan beramah mesra bersama ahli kariah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:13 AM