IZHAM (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
IZHAM (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau yang akan membekalkan air kepada penduduk di wilayah Klang dijangka siap dibina pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata, projek pembangunan itu di peringkat kajian kebolehlaksanaan oleh jurutera perunding yang dilantik oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.

Katanya, kajian kebolehlaksanaan terbabit dijangka siap pada bulan ini dan pembangunan akan dilaksanakan selepas itu.

"LRA Sungai Rasau adalah projek penting dalam perancangan 30 tahun pembangunan bekalan air di Selangor dan akan dilaksanakan dengan segera.

"Kita juga awalkan sedikit projek ini yang mana kita menetapkan ia akan siap pada 2024 dengan kapasiti 700 juta liter sehari (JLH) dan akan diagihkan kepada pengguna di wilayah Klang," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) mengenai tahap pembinaan LRA Sungai Rasau.

Izham berkata, cadangan pembangunan LRA Sungai Rasau Fasa 2 pula dijangka siap pada 2028 dengan kapasiti 700 JLH dan akan membekalkan air kepada pengguna di wilayah Petaling.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan pembinaan LRA Langat 2 sudah siap sepenuhnya pada 30 September lalu.

"Untuk makluman, Stream B dengan kapasiti 565 JLH sudah mula beroperasi pada 21 Disember 2019, bagaimanapun sehingga kini hanya 430 JLH dapat diagihkan kepada pengguna manakala Stream A (masih belum beroperasi) pula dijadual untuk diserahkan kepada Air Selangor pada 30 Oktober lalu," katanya ketika menjawab pertanyaan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai Projek LRA Langat 2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 2:48 PM