GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tarif air bagi pengguna domestik akan disemak semula dan dijangka dinaikkan tahun ini bagi menjamin kelestarian ke arah bekalan air berdaya tahan kepada lebih 9.1 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abas Abdullah berkata, pihaknya berharap pelarasan tarif air domestik dapat dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat bagi memastikan keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan dapat dicapai.

Katanya, dengan perancangan yang rapi, teratur dan pelaksanaan yang berkesan, pencapaian Air Selangor pada 2022 menunjukkan peningkatan dalam menyepadukan inisiatif kelestarian dalam tadbir urus, pembiayaan dan operasi perniagaannya.

"Pada 2022, Air Selangor mencatatkan pendapatan RM2.45 bilion, peningkatan 12.38 peratus daripada RM2.18 bilion yang direkodkan tahun sebelumnya.

"Peningkatan itu adalah hasil daripada pemulihan ekonomi Malaysia berikutan kelonggaran dan penghapusan sekatan Covid-19, serta pelarasan tarif bagi kategori bukan domestik dan kategori khas yang mula berkuat kuasa 1 Ogos 2022.

"Bagaimanapun, peningkatan pendapatan ini masih tidak dapat menampung kos operasi dan perbelanjaan modal dan akan memberi impak kepada pengurusan operasi jangka masa panjang Air Selangor.

"Justeru, sudah tiba masanya tarif air domestik disemak semula dan dinaikkan pada kadar berpatutan selepas 17 tahun tiada sebarang kenaikan dikenakan," katanya pada sidang media sempena terbitan Laporan Kelestarian Air Selangor, hari ini.

Abas berkata, semakan semula untuk menaikkan tarif air itu sudah dibincangkan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihaknya sedang menunggu keputusan yang dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, kadar baharu tarif air itu juga sangat penting untuk Air Selangor bagi menampung peningkatan yang terpaksa ditanggung dalam perbelanjaan operasi (opex) dan perbelanjaan modal (capex) syarikat di mana sebahagian besarnya digunakan untuk infrastruktur sistem bekalan air.

Ditanya berapa jumlah kenaikan yang perlu dikenakan untuk tarif air domestik, beliau berkata SPAN yang akan menentukan setakat mana tarif air boleh dinaikkan.

"Air Selangor tidak menerima sebarang subsidi dan kami memang berharap agar tarif air dapat dinaikkan paling tidak secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun sekali supaya bekalan air dan pengurusan projek air secara lestari dapat diteruskan untuk manfaat pengguna," katanya.

Menurutnya, Air Selangor komited menggerakkan segala usaha dan membuka ruang serta peluang dalam usahanya untuk merealisasikan aspirasi menjadi penyedia perkhidmatan air terulung di Asia menjelang 2030.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 3:49 PM