PUSAT Rawatan TH Syisyah di Makkah. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
PUSAT Rawatan TH Syisyah di Makkah. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein


SEMANGAT untuk beribadat cukup tinggi tapi keupayaan fizikal belum mencukupi. Itu rumusan Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan) Dr Mohd Shaffari Marzuki mengenai tahap kecergasan bakal haji Malaysia.

Beliau berkata, biarpun berulang kali diingatkan supaya membuat persiapan secukupnya daripada segi mental dan fizikal dalam setiap kursus persediaan, sebahagian besar bakal haji belum mencapai tahap dikehendaki.

“Saya lihat jemaah kita kebanyakannya bersemangat tinggi (untuk beribadat) tapi keupayaan fizikal mereka masih kurang dan perlu dipertingkatkan sejak di tanah air lagi.

“Boleh dikatakan jemaah kita masih kurang fokus dalam aspek membuat persiapan fizikal dan mental, sedangkan semua ibadah di sini perlu ketahanan badan yang kuat," katanya.

Dr Mohd Shaffari berkata demikian dalam sesi taklimat kepada wartawan Malaysia mengenai operasi perubatan Tabung Haji (TH) tahun ini di Pusat Rawatan TH Syisyah, di Makkah.

“Semua amalan sihat sebagai persediaan perlu dilakukan sejak di tanah air lagi, jangan sudah sampai di sini baru nak buat persediaan.

“Sebagai contoh, berjalan selama setengah jam dan minum air enam ke lapan gelas sehari, perlu dilakukan sejak di tanah air dan diteruskan sampai ke sini,” katanya.

MAD Admara. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
MAD Admara. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

Menurutnya, kekurangan membuat persediaan fizikal dan mental menyebabkan ramai jemaah terutama yang berusia 60 tahun ke atas cepat penat dan terdedah kepada penyakit.

Beliau berkata, setakat ini kira-kira 1,600 jemaah sudah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di tiga pusat rawatan TH iaitu Syisyah dan Abraj Al-Janadriyah di Makkah serta Dar Al-Jiffry di Madinah.

Sehingga Jumaat, lebih 12,000 bakal haji sudah berada di Madinah dan Makkah daripada keseluruhannya 30,200 yang didaftar menunaikan haji tahun ini. Masalah kesihatan yang dialami kebanyakan pesakit luar ialah batuk dan selesema, sakit sendi dan lutut kerana banyak berjalan serta penyakit kulit disebabkan cuaca panas dan kering.

Dr Mohd Shaffari berkata, untuk operasi perubatan musim haji tahun ini pihaknya memiliki kekuatan 266 anggota perubatan termasuk 18 pakar daripada pelbagai disiplin, ahli farmasi, petugas makmal dan 20 kenderaan ambulans.

Keseluruhannya, sebanyak 268 katil disediakan iaitu 197 di Pusat Rawatan Syisyah, Dar Al-Jiffry (37) dan Abraj Al-Janadriyah (34).

Selain itu, pasukan perubatan membabitkan doktor, pembantu perubatan bersama ambulans turut berada di terminal ketibaan di lapangan terbang Jeddah dan Madinah serta di Jumum yang menjadi lokasi pemeriksaan pihak berkuasa Arab Saudi untuk laluan darat dari Madinah ke Makkah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 1:28 PM