MUHAMMAD Sanusi ditemui selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Alor Setar, hari ini. FOTO  Wan Nabil Nasir.
MUHAMMAD Sanusi ditemui selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Alor Setar, hari ini. FOTO Wan Nabil Nasir.
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri tidak terbabit dalam keputusan Kementerian Kewangan (MOF) melelong projek pusat peranginan Perkampungan Tok Senik di Langkawi yang didakwa menanggung kerugian RM250 juta.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat berkaitan langkah itu dan hanya mengetahui mengenainya melalui laporan berita.

Katanya, besar kemungkinan projek itu dibangunkan pihak swasta di atas tanah milik Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) yang kemudiannya berhadapan masalah.

"Saya tidak ada maklumat lagi (mengenai keputusan melelong), kerajaan negeri tak ada kaitan, ini mungkin projek swasta di bawah MOF kerana Lada tak buat projek, hanya urus perkara perkara berkaitan tanah sahaja.

"Kebiasaannya tanah milik Lada dan projek sebegitu, swasta yang buat. Bagaimanapun saya akan dapatkan maklumat dahulu," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Bersama Lada berkata, terdapat banyak projek MoF di Langkawi yang bermasalah dan proses pemutihan sedang dilakukan bagi menyelamatkannya.

"Ketika saya masuk sebagai Pengerusi Bersama Lada, kita mula teliti, ada dulu buat projek, geran tanah tak ada sebab dibuat atas rizab sungai. Jadi saya kata kena buat pemutihan melalui pemberian geran, baharu kerajaan dapat bagi peruntukan untuk baik pulih.

"Apabila geran tak ada, projek ratus juta jadi terbengkalai. Ada banyak dibuat dahulu, saya sedang buat pemutihan, yang mana boleh kita beri geran dan mohon peruntukan baik pulih," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap MOF dapat memberi maklumat berkaitan langkah melelong Perkampungan Tok Senik yang diumumkan sebelum ini.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin memaklumkan MOF dalam proses melelong Projek Perkampungan Tok Senik selepas pusat peranginan itu didakwa mengalami kerugian besar berjumlah RM250 juta.

Beliau turut melakukan tinjauan ke pusat peranginan Melayu Tradisional berkenaan bersama ahli PAC yang lain.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan Lada dikesan gagal mengutip hasil pajakan Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.

PAC mengemukakan lima syornya pada Mac lalu kepada MOF dan Lada untuk dilaksanakan bagi menyelesaikan isu pajakan projek Perkampungan Tok Senik Resort serta Hotel St Regis Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 4:25 PM