SIM Tze Tzin (tengah) ketika membuat tinjauan di Perkampungan Tok Senik, hari ini. FOTO X.
SIM Tze Tzin (tengah) ketika membuat tinjauan di Perkampungan Tok Senik, hari ini. FOTO X.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Projek Perkampungan Tok Senik di Langkawi kini dalam proses lelongan oleh Kementerian Kewangan (MOF) selepas ia didakwa mengalami kerugian besar berjumlah RM250 juta.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang membuat tinjauan ke tempat peranginan itu bersama ahli PAC lain pagi tadi.

"Resort Melayu Tradisional yang cantik, tetapi ditutup kerana kerugian besar berjumlah RM250 juta.

"Kini dalam proses lelongan oleh MOF. PAC akan meneliti isu tadbir urus seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)," ciapnya di X.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dikesan gagal mengutip hasil pajakan Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.

Sehubungan itu, PAC mengemukakan lima syornya pada Mac lalu kepada MOF dan LADA untuk dilaksanakan bagi menyelesaikan isu pajakan projek Perkampungan Tok Senik Resort serta Hotel St Regis Langkawi.

Syor itu dikeluarkan selepas PAC memanggil beberapa saksi pada 30 November dan 13 Disember 2023, termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican, Timbalan KSP (Pelaburan), Datuk Dr Shahrazat Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebelum ini juga memberitahu status hak milik tanah pusat peranginan mewah itu masih dimiliki LADA dan tidak pernah dipajak kepada sesiapa.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah LADA berkata, pusat peranginan mewah yang beroperasi sejak 2016 belum dapat diselesaikan akibat masalah tadbir urus ketika projek itu mula dibangunkan. -ends.

From: mnasaruddin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:39 PM