SEMAK samun menambah suasana suram bangunan usang.
SEMAK samun menambah suasana suram bangunan usang.
Oleh Hakimi Suria Kencana dan Nor Hashimah Nor Hasim


Kuala Lumpur: Keadaan bangunan bersejarah di sekitar Dataran Merdeka, di sini, yang tidak terurus dan terbiar hingga diselaputi lumut serta mereput mengundang kekecewaan orang ramai.

Mereka tertanya-tanya mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku dan menggesa pihak berkaitan agar tidak membiarkan ia berlarutan kerana lokasi bangunan terbabit terletak di kawasan tumpuan orang ramai terutama pelancong asing.

Kakitangan syarikat swasta, Muhammad Syaqil Aqmar Shahril Lizan, 26, berkata, keadaan seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan bangunan bersejarah terbabit perlu dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.

"Perkara itu tidak sewajarnya berlaku sebab sejarah adalah suatu benda yang banyak mengajar kita.

"Jadi, sebaiknya diperbaiki mana yang rosak dan kekalkan sejarah. Kita seharusnya seimbangkan kemodenan dengan mengekalkan identiti sejarah itu sendiri," katanya.

Syaqil berkata, keusangan bangunan bersejarah ini menjadi lebih teruk akibat tiada pengawasan yang baik oleh pihak berkuasa sehingga bangunan itu dijadikan sebagai kawasan vandalisme dan lubuk penagih dadah.

"Pihak berkuasa tempatan seharusnya membuat pemeriksaan keselamatan lebih ketat untuk mengelakkan penagih dadah melepak di kawasan terbabit," katanya.

Pencipta kandungan, Amelina Abdullah, 28, turut bersetuju supaya bangunan bersejarah itu dijaga untuk manfaat generasi yang akan datang.

BANGUNAN  lama jika dipelihara mampu jadi tarikan pelancong.
BANGUNAN lama jika dipelihara mampu jadi tarikan pelancong.

"Sangat rugi jika bangunan ini dibiarkan usang kerana banyak sejarah yang tersemat di bangunan-bangunan itu dan menjadi bukti sejarah Malaysia.

"Segelintir anggota masyarakat kita juga kurang sivik hingga ada yang sanggup buang sampah merata-rata, conteng bangunan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong yang berkhidmat lebih 20 tahun, Nariza Muhamad Zabidi, 59, berkata, penjagaan bangunan itu penting bagi menarik perhatian pelancong untuk datang berkunjung.

"Sebagai pemandu pelancong, bila mahu tunjuk kepada pelancong struktur bangunan yang usang, agak risau juga dengan pandangan mereka terhadap bangunan bersejarah ini.

"Perkara ini memberikan imej negatif kepada pelancong dan kalau perlu dibaik pulih, sila laksanakan walaupun bangunan lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:31 PM