STRUKTUR binaan  luar dan dalam  Masjid Kowloon di Hong Kong.
STRUKTUR binaan luar dan dalam Masjid Kowloon di Hong Kong.
BAHAGIAN luar  Masjid Jamia  di Shelley Street, Central,   Hong Kong.
BAHAGIAN luar Masjid Jamia di Shelley Street, Central, Hong Kong.
BAHAGIAN dalam  Masjid Jamia.
BAHAGIAN dalam Masjid Jamia.
  MASJID  Jamia   dipercayai didirikan pada 1890-an oleh pekerja India.
MASJID Jamia dipercayai didirikan pada 1890-an oleh pekerja India.
Syazwan Msar


Di tengah kota metropolitan Hong Kong dikelilingi bangunan tinggi dan tersergam indah dengan kebanyakan penduduk di kota itu sentiasa sibuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing pasti beranggapan tiada lagi monumen bersejarah atau binaan lama yang masih kekal di kawasan terbabit.

Ironinya, siapa sangka sebenarnya negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam memiliki bangunan berusia ratusan tahun iaitu sebuah masjid dipercayai didirikan sekitar 1890-an.

Walaupun mencecah lebih seabad, Masjid Jamia yang terletak di Shelley Street, Central dibina pekerja India ketika zaman pemerintahan British suatu ketika dahulu sehingga kini masih lagi utuh walaupun dikelilingi bangunan tinggi serta moden.

Malah, pihak berkuasa tempatan juga komited memelihara seni bina masjid berkenaan dengan mengekalkan reka bentuk lama bagi memelihara keaslian masjid berkenaan yang menjadi antara monumen bersejarah di negara terbabit.

Naib Pengerusi Kesatuan Islam Hong Kong Saeed-Uddin berkata, pada awalnya masjid berkenaan adalah berek tentera India yang dibawa British untuk mengawal keselamatan di kawasan terbabit.

“Masjid berkenaan dibina tentera India pada 1849 bagi memudahkan mereka menunaikan solat sebelum ia dibaik pulih pada 1915 bagi memastikan binaannya tetap kukuh sehingga kini.

“Kita boleh melihat tingkap dan pintu mempunyai ciri seni bina Arab, malah turut mempunyai kubah dan menara. Menariknya, masjid berkenaan dikelilingi bangunan tinggi dan pembangunan di sekelilingnya,” katanya kepada wartawan Harian Metro yang mengikuti program lawatan muslim anjuran Lembaga Pelancongan Hong Kong, baru-baru ini.

Saeed-Uddin berkata, masjid berkenaan seolah tidak dimamah usia dan sentiasa dipelihara dan dikunjungi masyarakat Islam yang menetap di negara terbabit.

“Terdapat 300,000 masyarakat Islam di negara ini dan setakat ini tiada masalah mengamalkannya walaupun majoriti penduduk bukan beragama Islam.

“Walaupun, berlainan bangsa dan datang daripada negara berbeza, ikatan kekeluargaan masyarakat Islam begitu kukuh dan sentiasa mengadakan pertemuan terutama pada Aidilfitri,” katanya.

Selain itu, Hong Kong juga memiliki sebuah lagi masjid yang terletak di pusat bandar Kowloon, terkenal dengan kesibukannya dengan aktiviti perniagaan selain menjadi tumpuan warga tempatan dan pelancong asing untuk membeli-belah.

“Masjid Kawloon dibina pada 1896 oleh komuniti Islam pertama yang menetap di negara ini dan sehingga kini menjadi pusat aktiviti masyarakat muslim daripada pelbagai negara.

“Setiap aktiviti dijalankan tanpa masalah atau gangguan daripada pihak tertentu kerana setiap individu diberi hak mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, masjid terbabit juga menjadi platform untuk menyebar Islam secara lebih meluas dan sistematik kepada masyarakat setempat selain turut terdapat madrasah bagi memantapkan lagi pengetahuan mengenai Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 4:58 AM