RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
Suraya Roslan


Kajang: Suri rumah yang videonya tular dalam kekecohan di sebuah kolej swasta minggu lalu, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan seorang pelajar kolej wanita.

Majistret Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz memutuskan hukuman berkenaan selepas Chew Soo Li, 51, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didapati melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan telefon bimbit jenis Iphone X milik Jocelyn Foo Ai Yen, 20, menyebabkan kerugian lebih RM25 dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Sungai Long dan sebuah kedai serbaneka di Jalan SL 1/2 masing-masing di Bandar Sungai Long, Kajang, jam 2 petang, 3 Ogos lalu.

Bagi kesalahan khianat, pendakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tuduhan kerana mendatangkan mencederakan pula di bawah Seksyen 323 KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam bela mewakili tertuduh, S Priyalatha, memohon anak guam dikenakan denda minimum dan munasabah bagi kedua-dua pertuduhan terbabit.

"Anak guam mempunyai empat anak berusia antara 21 hingga lapan tahun dengan kesemua mereka masih belajar. Pengalaman tertuduh direman sebelum ini menjadi pengajaran kepadanya, selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan terbabit," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim pula memohon hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan itu.

"Mohon mahkamah juga mengambil kira faktor kecederaan dan kerugian dialami mangsa serta kekerapan kes berkenaan," katanya.

Dalam video pertama yang tular, suspek kelihatan berada di dalam kereta dan didakwa mencampak wang ke atas jalan selepas tidak puas hati kerana tayar keretanya dikunci dan disaman penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang.

Dalam video kedua, suspek dilihat menghampiri dua pelajar kolej dengan seorang daripadanya sedang memegang telefon bimbit dan kelihatan seperti sedang membuat rakaman suara bersama rakannya.

Suspek kemudian mahu meminjam telefon bimbit berkenaan tetapi pelajar wanita itu memaklumkan dia sedang menggunakan gajet rakannya untuk membuat tugasan.

Suspek kemudian merampas telefon bimbit itu dan mencampaknya ke atas jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:21 PM