Penganggur, Irwan Syah Rizal, 35, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kajang atas dua pertuduhan menunggang motosikal dengan gopoh dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang warga emas selepas mereka terbabit dalam satu kemalangan yang tular di media sosial.
Penganggur, Irwan Syah Rizal, 35, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kajang atas dua pertuduhan menunggang motosikal dengan gopoh dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang warga emas selepas mereka terbabit dalam satu kemalangan yang tular di media sosial.
Suraya Roslan


Kajang: Penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal dengan gopoh dan menyebabkan kecederaan ke atas warga emas selepas mereka terbabit dalam kemalangan yang tular di media sosial, minggu lalu.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap Irwan Syah Rizal, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 3 September lalu.

Bagi kesalahan menunggang motosikal dengan gopoh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan manakala bagi kesalahan mencederakan mangsa, dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Low Khoon Hwa, 71, di Jalan Cheras Perdana, Hulu Langat, di sini, sekitar 11.25 pagi pada 1 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Irwan Syah didakwa menunggang motosikal dengan gopoh sehingga membahayakan nyawa Low pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurshuhada Imraanuar yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon supaya anak guamnya dijatuhkan hukuman penjara secara serentak bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim mencadangkan supaya tertuduh dikenakan hukuman sewajarnya dan secara berasingan sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat umum.

"Kami memohon mahkamah mempertimbangkan tindakan tertuduh yang menunggang motosikal secara melawan arus memberikan ancaman nyawa kepada pengguna jalan raya lain.

"Selain itu perlu dipertimbangkan tindakan melulu tertuduh yang mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Kami memohon satu hukuman berbentuk kepentingan awam dikenakan terhadap tertuduh," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nik Siti Norazlini mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu secara berasingan bermula dari tarikh tangkap.

Sebelum ini, media melaporkan insiden tular membabitkan seorang lelaki tidak berbaju memukul seorang warga emas yang juga penunggang motosikal di satu persimpangan jalan raya.

Ketika kejadian, seorang warga emas bersama motosikalnya keluar secara tiba-tiba sebelum terbabit dalam kemalangan dengan tertuduh.

Selepas kemalangan, lelaki berkenaan bertindak membelasah warga emas itu sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 1:51 PM