Irwan Shafrizan Ismail


Sepang: Bakal jemaah haji tahun ini berpeluang untuk merebut Pakej Rahmah Haji yang ditawarkan Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada harga pakej di bawah RM50,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata, sejumlah 23 PJH yang ditemui menyambut baik Pakej Rahmah Haji itu malah ada yang sudah menawarkan harga lebih rendah daripada RM50,000.

"Ada PJH yang menawarkan pakej haji pada harga serendah RM43,000 dan RM45,000 bagi setiap jemaah.

"Alhamdulillah, dengan tawaran RM50,000 ini, kita harap akan lebih ramai mengambil tawaran yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival PJH di sini, hari ini.

MOHD Na’im Mokhtar melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin (dua dari kanan). FOTO Hairil Anuar Rahim.
MOHD Na’im Mokhtar melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin (dua dari kanan). FOTO Hairil Anuar Rahim.

Mengulas penganjuran Karnival PJH itu, Mohd Na'im berkata, karnival julung kali itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada bakal jemaah haji mengenali dengan rapat 23 PJH yang dilantik Lembaga Tabung Haji (TH).

"Seperti sedia maklum banyak berita yang menyebut mengenai bakal jemaah haji yang ditipu oleh ejen atau agensi yang tidak bertanggungjawab.

"Bagi menjamin kualiti perkhidmatan, setiap lantikan pengelola jemaah haji sudah melalui proses penilaian dan saringan serta standard tertentu yang perlu diikuti, barulah lesen diberikan," katanya.

Beliau berkata, rakyat yang berhasrat menunaikan ibadah haji tidak lagi perlu bimbang atau rasa ragu-ragu berikutan perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik.

Ditanya sama ada jumlah PJH akan ditambah pada masa depan, Mohd Na'im berkata, jumlah itu boleh ditambah selagi ia memenuhi syarat ditetapkan TH selain tidak berkompromi dari segi kualiti.

"Saya tidak nampak masalahnya, jadi yang penting mereka (PJH) memenuhi syarat ditetapkan. Lebih banyak lebih bagus kerana apa yang paling penting kita pastikan bahawa pengelola PJH ini bertanggungjawab.

"Kita tidak mahu isu yang mana mereka (bakal jemaah) ditipu dan sebagainya. Kita mahu minimumkan isu itu yang akan menghalang kemungkinan ia berlaku," katanya.

Karnival Pengelola Jemaah Haji dianjurkan TH dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (Bumitra) selama dua hari bertempat di Movenpick Hotel & Covention Centre, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 1:34 PM
MOHD Na’im Mokhtar diiringi Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin melawat reruai pameran. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHD Na’im Mokhtar diiringi Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin melawat reruai pameran. FOTO Hairul Anuar Rahim