MOHAMAD Altaf Isyraf didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan dengan senjata di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMAD Altaf Isyraf didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan dengan senjata di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tukang gunting didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata, 16 Mei lalu.

Mohamad Altaf Isyraf Zazlan, 21, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa bersama tiga orang yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan secara bersenjata terhadap Muhammad Safuan Hariss Ibrahim, 26, dan merampas motosikal Yamaha Y15, tiga unit telefon bimbit dan satu kerongsang emas milik ibu mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini, pada 11 pagi, 16 Mei 2024 dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Zulfaqar Al Basysyar dan Taufik Rusli.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 2:19 PM