Tertuduh, Mohammad Shafiq Romly, 33 dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan terhadap kakaknya disebabkan tidak memasak nasi dalam kejadian 17 mac lalu di sebuah rumah di Jalan Kubur Tok Pah, Kampung Jambu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tertuduh, Mohammad Shafiq Romly, 33 dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan terhadap kakaknya disebabkan tidak memasak nasi dalam kejadian 17 mac lalu di sebuah rumah di Jalan Kubur Tok Pah, Kampung Jambu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Buruh dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mengugut secara jenayah kakaknya disebabkan wanita itu tidak memasak nasi.

Majistret Kamarul Hasyme Rosli memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Shafiq Romly, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Shafiq didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Mahsuri Romly, 37, dengan menakutkannya dengan kenyataan membunuh dia dan keluarga di sebuah rumah di Jalan Kubur Tok Pah, Kampung Jambu di sini, pada jam 9 malam, 17 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengamuk dengan memaki hamun serta mengugut mangsa sambil berkata ingin membunuh mangsa dan ahli keluarganya kerana berpunca daripada mangsa tidak masak nasi sebaik tertuduh bangun tidur.

Terdahulu, pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Siti Edabayu memohon hukuman setimpal mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa pada masa akan datang, namun Siti Atikah merayu bagi pihak anak guamnya dan memberitahu tertuduh sudah insaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 3:09 PM