Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor memberi jaminan kerjasama politik yang membentuk kerajaan negeri menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan terpengaruh dengan pergerakan politik di Semenanjung.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, semua parti dalam gabungan itu sudah mencapai kata sepakat tidak mahu sebarang kekacauan politik yang berlaku di Semenanjung menular ke Sabah.

"Kita lihat politik Sabah dalam konteks negeri kita saja. Kita tidak boleh terpengaruh dengan pergerakan politik yang berlaku di Semenanjung.

"Kita perlu teruskan mandat yang diberikan rakyat dan tidak timbul isu kita terpengaruh dengan perkara yang berlaku di Semenanjung.

"Tidak kira apa yang berlaku di Semenanjung, ia tidak akan mengganggu kita (GRS)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama GRS dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) parti komponen gabungan itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sejauh mana GRS mampu bertahan sebagai satu kerjasama politik dalam situasi politik di peringkat Persekutuan yang kurang stabil ketika ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata semua parti dalam GRS bersetuju memastikan kerjasama yang dimeterai melalui MoU diteruskan dan dikukuhkan lagi.

DATUK Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri yang juga Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah menunjukkan Memorandum Persefahaman yang ditandatangni. FOTO Mohd Adam Arinin
DATUK Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri yang juga Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah menunjukkan Memorandum Persefahaman yang ditandatangni. FOTO Mohd Adam Arinin

"Kita pastikan kerjasama ini dikukuhkan lagi dan kita menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan ini," katanya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, berkata UMNO Sabah juga sudah menyatakan komitmen memastikan kedudukan GRS sebagai kerajaan negeri terus dipertahankan.

Sementara itu, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya sudah menjelaskan pendirian berhubung kerjasama dengan semua parti dalam GRS.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, UMNO Sabah tetap komited dengan pendirian itu dan meletakkan usaha membangunkan negeri sebagai keutamaannya.

"Pendirian kita jelas, keputusan kita ialah untuk mempertahankan kerajaan GRS. UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sepakat mempertahankan GRS dan keutamaan kita ialah untuk membangunkan Sabah.

"Jadi tidak timbul soal sama ada kita melanggar MoU atau tidak kerana kita berpegang kepada persefahaman yang dijalin sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Sekarang adalah masa untuk kita melaksanakan amanah diberikan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 3:35 PM