MIRI, antara pintu masuk utama warga Brunei ke Malaysia. FOTO Arkib NSTP
MIRI, antara pintu masuk utama warga Brunei ke Malaysia. FOTO Arkib NSTP
Erika George


POLIS Sarawak tidak lagi mahu ‘memberi muka’ kepada pemandu warga Brunei selepas mengambil kira sejumlah 52,000 saman tertunggak belum dijelaskan bagi tempoh 10 tahun, bermula 2008.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, demi memastikan kutipan saman dilangsaikan, Polis Sarawak akan melaksanakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) di kawasan sempadan Malaysia-Brunei di Miri dan Limbang.

“Polis Sarawak mahu semua saman itu dijelaskan kerana pemandu warga asing berkenaan sudah melakukan kesalahan ketika mereka masuk ke Sarawak. Semestinya, mereka sudah sedia mengetahui kesalahan yang pernah dilakukan dan perlu mematuhi peraturan termasuk menjelaskan tunggakan saman.

“Melalui penguatkuasaan OSTWA di sempadan negara akan memudahkan urusan PDRM mengesan pesalah trafik dari negara jiran yang mempunyai saman tertunggak, yang akan dijalankan dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, tiada alasan untuk warga asing tidak menjelaskan saman kerana pelbagai kemudahan disediakan bagi mereka melunaskan saman.

Sehubungan itu, katanya, Alexson menasihatkan semua pengguna jalan raya khususnya warga asing supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini, bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

“Semua pihak diingatkan khususnya warga asing bahawa OSTWA dilaksanakan bukan untuk menghukum pesalah trafik warga asing, tetapi bagi memberi kesedaran kepada mereka agar sentiasa berhati-hati dan menghormati undang-undang negara ini,” katanya.

Beliau berharap langkah penguatkuasaan OSTWA akan memberikan kesedaran buat pesalah trafik warga asing supaya segera menyelesaikan saman tertunggak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 1:32 PM