SEJUMLAH minuman keras yang cuba diseludup ke Brunei dirampas oleh anggota tentera di Limbang. FOTO Ihsan Markas 1 Divisyen Infantri
SEJUMLAH minuman keras yang cuba diseludup ke Brunei dirampas oleh anggota tentera di Limbang. FOTO Ihsan Markas 1 Divisyen Infantri
Mohd Roji Kawi

Kuching: Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah minuman keras ke Brunei, awal pagi tadi.

Dalam serbuan pada jam 2.30 pagi di jeti Kampung Sibukang, Limbang yang terletak kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia – Brunei itu, sejumlah 116 karton minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM 90,000 dirampas.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen Infantri berkata, serbuan itu dilakukan selepas anggota yang sedang menjalankan rondaan mengesyaki sesuatu yang mencurigakan selepas mengesan sebuah van berhenti di jeti berkenaan.

"Anggota membuat pemeriksaan terhadap van berkenaan dan mendapati dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan bersama dua lelaki warga negara Brunei berusia sekitar 24 hingga 53 tahun berada di dalam kenderaan itu.

"Susulan penemuan sejumlah minuman keras, mereka disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan barangan itu dari Malaysia ke Brunei," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebuah van yang dianggarkan bernilai RM30,000 yang dinaiki kumpulan itu turut dirampas.

"Semua minuman keras dirampas dan individu yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya lagi, TDM terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

"Ia khususnya dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan yang turut berisiko menyumbang kepada penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 2:11 PM