Nurul Hazirah (kanan) dan ibu mentuanya memujuk Muhammad Aidan Faaeq yang menangis kerana mahu menziarahi kubur bapanya. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Nurul Hazirah (kanan) dan ibu mentuanya memujuk Muhammad Aidan Faaeq yang menangis kerana mahu menziarahi kubur bapanya. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Arwah suami bermimpi saya meninggal dunia. Dia kata dia tidak boleh hidup tanpa saya...tak sangka dia pula yang pergi dulu," kata suri rumah, Nurul Hazirah Muhamad Sopian.

Menurutnya, dia masih terngiang-ngiang kata-kata suaminya itu, Hilmi Saleh, 31, yang diucapkan minggu lalu dan tidak menyangka ia menjadi petanda kehilangan insan tercinta yang dikahwininya pada 8 Disember 2018.

"Saya tidak perasan perubahan lain kerana arwah kelihatan biasa saja dan pada hari kejadian seperti biasa dia keluar bekerja selepas menghantar anak kami, Muhammad Aidan Faaeq, 5, ke Tadika Jaim (Jabatan Agama Islam Melaka) pada 7.30 pagi.

"Arwah memang tidak bawa beg syarikat p-hailing ketika hantar anak dan selepas berkemas dia keluar bekerja pada 7.50 pagi selepas saya bersalam dengannya.

"Saya hanya mengetahui suami kemalangan melalui bapa mentua pada 10.30 pagi selepas dihubungi rakan arwah," katanya sebak ketika ditemui Harian Metro di rumah mentuanya di Kampung Semabok Dalam di sini.

Nurul Hazirah berkata, suaminya yang baharu tiga tahun berkerja sebagai penghantar makanan adalah seorang yang penyayang, rapat dengan ibu bapa dan 'ringan tulang'.

Katanya, sebelum itu suaminya bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan tetapi kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

"Setiap hari suami pasti singgah di rumah ini selepas 6.30 petang apabila habis bekerja untuk berjumpa keluarganya.

"Walaupun sudah makan di rumah, dia pasti akan menjamah masakan disediakan ibunya," katanya.

Nurul Hazirah berkata, peringkat awal anak mereka, Muhammad Aidan seakan sukar menerima kehilangan bapanya disebabkan manja dengan arwah.

"Masa bawa Aidan dari Tadika ke Hospital Melaka, saya pujuk dan beritahu ayah dia kemalangan dan meninggal dunia...terus dia menangis nak pergi pada ayahnya.

"Kali terakhir saya lihat jenazah Aidan cium ayahnya dan air matanya mengalir," katanya.

Sementara itu, ibu mentuanya, Fatimah Mohd Jadi, 53, berkata, walaupun dia dan suami, Saleh Osman, 54, berasa amat bersedih atas pemergian arwah yang juga satu-satunya anak lelaki daripada dua beradik, mereka tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

Katanya, jenazah anaknya selama tdisemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semabok selepas disembahyangkan di Masjid Al Abrar Semabok di sini.

Kelmarin, media melaporkan tindakan murni seorang penunggang p-hailing memberi laluan kepada ambulans dalam kecemasan bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu di sini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan selepas terbabit nahas membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 3:29 PM