DR Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP.
DR Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara bersetuju memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MKT akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda berserta memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan daripada 191 bahagian termasuk wanita, pemuda dan puteri Umno.

Katanya, MKT mengambil maklum dukacita dan keresahan ahli Umno di akar Umbi terhadap keputusan yang didakwa dilihat tidak adil seiring dengan kenyataan penghakiman dizahirkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Asyraf Wajdi berkata, Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan turut menyatakan Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan.

"Setelah diperincikan, MKT merafak sembah menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan kerendahan diri memohon ihsan untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berserta dengan memorandum yang ditandatangani oleh seluruh kepimpinan Umno daripada 191 bahagian termasuk wanita, pemuda dan puteri Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 31 Mac, Najib gagal untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Keputusan itu secara majoriti dibuat empat panel hakim yang dibaca Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan disokong Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Namun Abdul Rahman membuat keputusan menentang.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan MKT telah menetapkan tarikh Perhimpunan Agung Umno bagi tahun 2023 akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 6:56 PM