DR Dzulkefly Ahmad berucap ketika majlis pelancaran myBRP@CKAPs di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Dzulkefly Ahmad berucap ketika majlis pelancaran myBRP@CKAPs di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung Sindrom Kejutan Toksik Streptokokus (STSS) yang melanda Jepun ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat terbabit penting supaya Malaysia dapat membuat persediaan serta mengambil langkah sewajarnya.

"Kita belum mendapat apa-apa maklumat atau perkembangan dan kita memerlukan input daripada WHO kerana ia sangat mustahak.

"Sebaik mendapat maklumat itu, kita dapat bersedia dan seterusnya dapat mengambil langkah kawalan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran myBRP@CKAPS di sini, hari ini.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Jepun mencatat lebih 1,000 kes STSS, tahun ini, lapor Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID).

STSS yang juga dikenali sebagai jangkitan streptokokus invasif teruk, adalah sejenis penyakit yang bermula secara tiba-tiba disebabkan oleh 'Streptokokus Kumpulan A'.

Lazimnya, simptom awal penyakit itu meliputi sakit tekak, demam, hilang selera makan, cirit-birit, muntah serta masalah gastrousus yang lain, di samping gejala septik seperti tekanan darah rendah.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, buat masa ini kes membabitkan jangkitan STSS masih belum dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:03 PM