SEORANG ibu dari Lancashire, yang tidak mahu disebutkan namanya, berkongsi gambar mengejutkan ruam ungu merah di seluruh tubuh anak perempuannya yang berusia dua tahun mungkin berkait dengan Covid-19.
SEORANG ibu dari Lancashire, yang tidak mahu disebutkan namanya, berkongsi gambar mengejutkan ruam ungu merah di seluruh tubuh anak perempuannya yang berusia dua tahun mungkin berkait dengan Covid-19.
BERNAMA

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebook beliau hari ini berkata, keadaan itu adalah gejala radang saluran darah yang bermula dengan tanda demam dan ruam.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu berkata, laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

"Sangat mustahak untuk mencirikan sindrom klinikal ini dengan teliti bagi memahami sebab serta akibat dan untuk memberikan intervensi rawatan. "Saya sudah meminta pakar di seluruh dunia supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing sementara WHO akan kekal berwaspada dan lebih memahami akan sindrom ini pada kanak-kanak," katanya dalam klip video pendek WHO yang turut dikongsi oleh Dr Noor Hisham.

Dalam klip video yang sama, Ketua Teknikal Covid-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata, ia adalah satu keadaan yang sangat jarang berlaku dan WHO mendapat gambaran mengenai gejala yang berbeza pada kanak-kanak yang diuji positif Covid -19.

Menurut laman web rasmi WHO, laporan kes menggambarkan penyakit akut yang disertai oleh sindrom hiperinflamasi, yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.

Ia penting untuk mencirikan sindrom berkenaan dan faktor risikonya bagi memahami sebab serta akibat, selain menerangkan intervensi rawatan. Masih belum jelas spektrum penuh penyakit itu dan sama ada faktor penyebaran di Eropah dan Amerika Utara mencerminkan corak sebenarnya atau tidak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 9:33 AM