GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan melaksanakan operasi pembenihan awam (OPA) di Kelantan bermula Jumaat hingga Ahad ini bertujuan meningkatkan paras air Sungai Kelantan supaya dapat mengairi kawasan pertanian yang terjejas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM5 juta bagi menjayakan OPA.

Katanya, operasi itu susulan permohonan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan dilaksana melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

"OPA adalah tindakan awal dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.

"Malah, taburan hujan yang rendah dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta mengganggu operasi pam di seluruh Kawasan KADA," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai paras air pada ketinggian 4.90 meter.

Katanya, KADA bagaimanapun hanya merekodkan paras air terendah di Sungai Kelantan iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April lalu.

Justeru, beliau berharap usaha terbabit dapat segera memberikan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering, khususnya di Kelantan.

"Saya juga berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan ini dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

"Saya juga sudah menyarankan NADMA dan KPKM untuk melaporkan perincian hasil OPA ini pada 23 Jun 2024 nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:45 AM