FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Subang Jaya: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan memberi tumpuan kepada tujuh lokaliti strategik di sekitar negeri itu, dalam usaha mengatasi masalah penyusutan air Sungai Kelantan dan kemarau berpanjangan yang dihadapi pesawah.

Tujuh lokaliti tumpuan itu meliputi kawasan sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Urai.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan operasi itu bertujuan meningkatkan paras air semasa Sungai Kelantan yang menjadi sumber utama pengairan kawasan penanaman padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

"Operasi ini dijangka dapat menambah baik sistem pengairan di kawasan Kemubu yang mengalami kemarau panjang. Ia secara langsung memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah yang mengusahakan aktiviti penanaman padi di kawasan ini.

"OPA ini tindakan interim daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), bagi menangani isu kekurangan bekalan air untuk penanaman padi. Sebelum ini, pelbagai inisiatif telah diberi kepada pesawah meliputi bantuan pam mudah alih, pam penggalak, pembinaan telaga tiub dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media OPA di Kelantan, sebelum menyertai operasi itu dengan menaiki pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C-130H di Pangkalan Udara Subang, dekat sini hari ini.

Mengenai perkembangan terkini OPA, Mohamad berkata, operasi pada hari pertama Jumaat lalu berjaya menghasilkan hujan di zon selatan Kelantan, namun pada hari kedua (semalam), operasi itu didapati kurang berkesan kerana tiada pembentukan awan di negeri terbabit.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pembentukan awan kumulus menjulang atau awan kumulonimbus diperlukan bagi proses pembenihan awan, untuk menghasilkan hujan yang lebat di sesuatu kawasan.

"Apabila awan itu mula terbentuk dan kita buat pembenihan (sembur campuran air garam), insya-Allah ia akan turunkan hujan dengan banyak di kawasan terbabit... Biasanya kita akan sediakan empat tong, setiap tong kita sediakan 200 kilogram garam dan 1,500 liter air, maka jika empat tong sejumlah 6,000 liter air garam yang kita bancuh untuk OPA ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, negara akan berdepan kekurangan kira-kira empat peratus daripada keseluruhan jumlah pengeluaran beras, jika proses penanaman padi di sekitar Kelantan terus terjejas susulan musim kemarau yang berpanjangan.

Menjawab pertanyaan mengenai tindakan susulan sekiranya OPA yang dijalankan selama tiga hari kurang berhasil, Mohamad berkata, KPKM akan mengambil tindakan jangka masa pendek bagi mengatasi masalah berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali menerangkan proses meletupkan atau memecahkan batu hamparan berhampiran Rumah Pam Kemubu di Kota Bharu, antara penyelesaian yang boleh diambil bagi jangka masa pendek.

Beliau berkata, proses itu bagi memberi laluan kepada proses penjajaran air ke pam Kemubu, dengan harapan bahawa OPA boleh menghasilkan hujan dalam masa terdekat sekali gus, meningkatkan paras air di kawasan pam bagi operasi sedia ada di Pam Kemubu 1 dan 2.

Lokman berkata, telaga tiub juga akan dipasang di 280 lokasi yang dikenal pasti di sekitar kawasan KADA, sebagai alternatif bagi mengatasi musim kemarau di Kelantan.

"Seterusnya, kita melihat kepada shift piles atau pelaksanaan beberapa jajaran di Sungai Kelantan dengan kebenaran kerajaan negeri. Ia akan menjadi antara pelan jangka pendek dan sederhana yang boleh dilaksanakan.

"Bagi penyelesaian jangka panjang, kita akan mencadangkan (pembinaan) ampang jajar di kawasan Sungai Kelantan, dan itu akan kita kemukakan semasa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) nanti dengan perbincangan bersama kerajaan negeri juga," katanya.

Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dilaporkan berkata kerajaan bersetuju untuk melaksanakan OPA di Kelantan pada 21 hingga 23 Jun, bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang melanda negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:55 PM