KEADAAN air di  Empangan Bukit Merah yang semakin pulih. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
KEADAAN air di Empangan Bukit Merah yang semakin pulih. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Empangan Bukit Merah akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa, Pertanian Perladangan dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria berkata, OPA akan dijalankan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ia akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala kos ditanggung oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

"Ia akan dilaksanakan di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, Semanggol membabitkan kawasan sawah seluas 19,058 hektar di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (Iada) Kerian dan 1,267 hektar kawasan Iada Pulau Pinang," katanya pada kenyataan.

Sementara itu, pesawah, Norpadli Samad, 42, berkata, pesawah di kawasan Parit Mat Keling di sini, berharap pembenihan awan itu membantu memulihkan semula paras air di empangan.

Menurutnya, pesawah khususnya di Bagan Serai, Semanggol dan Selinsing amat memerlukan bekalan air mencukupi berikutan usia sawah padi baru mencecah sebulan hingga 50 hari.

"Pada usia sebegini, sawah padi yang berusia sebulan dan ke atas sememangnya memerlukan air dalam kuantiti besar.

"Sudah berminggu sawah padi kami 'dahagakan' air dan sepanjang waktu itu, ia bertahan melalui penggunaan air hujan yang bertakung di sawah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 1:52 PM