GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Polis menahan seorang lelaki selepas melakukan aksi tidak senonoh dengan menayang alat sulitnya kepada seorang wanita di tempat menunggu bas berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) SS15, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya, 7 Jun lalu.

"Kejadian berlaku ketika dia berada di tempat menunggu bas sebelum melihat suspek yang menunggang motosikal melakukan perbuatan tidak senonoh," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pada jam 8.15 malam Isnin lalu, anggota polis menjalankan tugas cegah jenayah ragut, samun dan pecah rumah menahan suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan SS17/2 di sini.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Suspek mengaku terbabit dalam kes disiasat di mana melakukan perkara tidak senonoh itu kepada mangsa di tempat menunggu bas," katanya.

Wan Azlan berkata, polis kemudian membawa suspek ke rumahnya di Bandar Sunway sebelum merampas motosikal dan baju digunakan ketika kejadian.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dia direman bagi membantu siasatan.

"Polis menasihati orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan kepada balai polis yang berdekatan dengan kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 3:44 PM