Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
M Hifzuddin Ikhsan


Bandar Baharu: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta bekerjasama menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah terlebih dahulu, sebelum memikirkan cara membantu Pulau Pinang dalam isu itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, masalah air di Sungai Bakap, Pulau Pinang boleh diselesaikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mempunyai perancangan bagi mengatasinya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, adalah wajar bagi Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar memberi keutamaan kepada rakyat Kedah.

"Kita ada lima projek Loji Rawatan Air (LRA) yang akan dilengkapkan, di Bandar Baharu kita ada LRA Lubuk Buntar yang terlewat siap, projek itu nilai RM60 juta, selepas siap projek ini mampu membekalkan air sebanyak 32 juta liter sehari (MLD).

"Jadi untuk Menteri Besar (Muhammad Sanusi), Sungai Bakap biar Pulau Pinang urus, kita jaga Kedah dulu. Saya akan bekerjasama bersama Menteri Besar, bantu beliau dan beliau kena bantu kita untuk selesaikan isu air di Kedah dulu.

"Sempadan di sebelah sana (Pulau Pinang), ada caranya untuk diselesaikan. Jadi untuk saya dan Menteri Besar, biar kami jaga Kedah untuk selesaikan masalah air agar tak berterusan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat Parlimen Kulim/Bandar Baharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, masalah tekanan dan bekalan air di Kedah dilihat lebih serius terutama di Merbok dan Sungai Petani yang kerap terganggu.

Katanya, antara perancangan yang dibuat Pulau Pinang bagi menyelesaikan masalah air di negeri itu adalah mendapatkan bekalan dari Perak seperti diumumkan, baru-baru ini.

"Sungai Bakap biar Ketua Menteri selesaikan. Jadi jika hendak tolong masalah tekanan air rendah di Sungai Bakap, kita kena lihat juga masalah di Merbok, Sungai Petani, Bandar Baharu, saudara mara saya asyik bercerita kerap air terputus.

"Jadi apa jawapan kita kepada masalah ini, Kerajaan Persekutuan datangkan projek LRA kepada Kedah. Adalah lebih mulia, lebih menjadi keutamaan kepada Menteri Besar supaya selesaikan projek ini dahulu," katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dalam ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap menawarkan kepada Pulau Pinang bagi membeli lebihan air milik Kedah selepas LRA Lubuk Buntar disiapkan.

Beliau memaklumkan, terdapat paip lama yang menghubungkan Bandar Baharu ke Sungai Bakap boleh digunakan bagi menyalirkan bekalan seperti yang pernah dibuat sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 3:35 PM