M Hifzuddin Ikhsan

Yan: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran Pulau Pinang mungkin akan hanya mengepam air selut Sungai Muda suatu ketika nanti, sekiranya terus berkeras enggan membayar pampasan air kepada Kedah.

Beliau berkata, Pulau Pinang masih boleh terus mengepam air Sungai Muda secara bebas setiap hari, namun akan tiba masanya mereka mendapati tiada air mengalir di sungai itu.

Jelasnya, kerajaan Kedah mempunyai beberapa projek yang belum boleh diumumkan lagi dan sekiranya ia dilaksana boleh mengakibatkan Pulau Pinang tidak lagi mendapat sumber air melalui Sungai Muda.

"Kita ada beberapa projek yang tidak umum lagi yang akan beri masalah kepada mereka (Pulau Pinang) kalau tetap enggan bayar (pampasan air), saya akan umum nanti.

"Pulau Pinang boleh guna dahulu (air Sungai Muda), sampai hari akan keluar air selut dan mereka boleh guna," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Yan di sini, hari ini.

MUHAMMAD Sanusi ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Pejabat Daerah Yan.  FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHAMMAD Sanusi ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Pejabat Daerah Yan. FOTO Luqman Hakim Zubir

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan enggan memanjangkan isu penggunaan sumber air Sungai Muda kerana memilih untuk mempertahankan hak riparian negeri itu di mahkamah.

Mengulas lanjut, Muhammd Sanusi berkata, kerajaan negeri sedia membawa pertikaian berkenaan ke mahkamah, namun akan merujuk kes berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu.

"Proses ini akan sampai mahkamah, tetapi kita akan minta Kerajaan Pusat melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi mengadakan proses timbang tara untuk atasi hal ini.

"Jika timbang tara gagal menyelesaikan, kita akan ke mahkamah. Saya akan pergi ke hujung dunia untuk mempertahankan hak ini," katanya.

Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010, namun tiada sebarang bayaran dibuat negeri itu sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 3:40 PM