Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis berjaya menyelamatkan dua lelaki orang kurang upaya (OKU) warga China dipercayai dieksploitasi sebagai pengemis di Taman Setia Indah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kegiatan itu terbongkar dalam Op Pintas selepas menerima maklumat awam kira-kira 8.30 malam.

Menurutnya, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga China berusia 53 dan 44 tahun.

"Hasil siasatan lanjut, kita pergi ke sebuah rumah di Taman Johor Jaya, di sini, sebelum menemui seorang lagi lelaki warga China berusia 38 tahun.

"Kedua-dua warga asing ini adalah OKU yang dijadikan sebagai pengemis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raub berkata, polis kemudian dipandu arah ke Taman Seri Austin, di sini, sebelum membuat tangkapan ke atas seorang wanita tempatan berusia 48 tahun.

Menurutnya, wanita ini dan lelaki tempatan terbabit ditahan kerana disyaki mengeksploitasi dua lelaki OKU warga China sebagai pengemis.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:16 PM