TAN Sri Osman Cassim meninggal dunia pada usia 93 tahun. FOTO Arkib NSTP.
TAN Sri Osman Cassim meninggal dunia pada usia 93 tahun. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jenazah bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Osman Cassim selamat dikebumikan pada 11.25 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Sinar, Segambut di sini.

Terdahulu jenazah dibawa ke Masjid Al Ubudiah Segambut Dalam untuk dimandi dan dikafan, diikuti solat jenazah yang dipimpin pemangku ketua imam masjid Mohd Arifin Zulkatlay sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Majlis pengebumian dihadiri lebih 30 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara dan kenalan.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan ll Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Aseh Che Mat.

Anak Allahyarham, Dr Samsudin memaklumkan ayahnya yang sudah berusia 93 tahun itu meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Ampang pada 10.20 malam tadi kerana sakit tua.

Dr Samsudin ketika ditemui Bernama turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu urusan pengebumian ayahnya.

Osman berkhidmat dalam sektor awam selama 30 tahun sebagai ahli Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia termasuk memegang jawatan Setiausaha Agung di beberapa kementerian dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sebelum bersara pada 1985.

Beliau kemudiannya aktif di Institut Pengurusan Malaysia dan pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah serta Pengerusi Southern Bank Berhad sehingga 2005 diikuti menjadi Pengerusi Kumpulan Hai-O selama 15 tahun.

Allahyarham juga pernah dianugerahkan Darjah Kebesaran Bintang Polar dari Raja Sweden Carl XVI Gustaf pada 2009 atas keberanian beliau menjadi wakil Malaysia sebagai tebusan pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) yang menyertai penerbangan ke Tripoli, Libya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:58 PM