Jenazah Allahyarham Ramli Daud ketika sampai di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Baru.FOTO NAZRI ABU BAKAR
Jenazah Allahyarham Ramli Daud ketika sampai di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Baru.FOTO NAZRI ABU BAKAR
Foto Nazri Abu Bakar


Melaka: "Moga kami bertemu di syurga nanti," ujar Salina Ramli, 45 yang masih bersedih selepas dia sekeluarga tidak dapat mengucup jenazah bapanya, Allahyarham Ramli Daud , 74, yang meninggal dunia akibat Covid-19 semalam.

Baginya sukar untuk dijelaskan perasaannya serta seluruh ahli keluarga termasuk ibu, Ponya Wahab, 64, yang tidak dapat menatap jenazah pada saat akhir apatah lagi mereka sekeluarga terpaksa menjalani kuarantin di rumah.

Katanya, salah seorang anaknya serta sepupu juga disahkan positif Covid-19 dan kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Sementara ibunya, adik beradik, emak saudara, anak buah, dan lima anaknya yang lain turut menunggu keputusan ujian saringan yang dilakukan di Bukit Serindit di sini, petang semalam.

Dia berkata, hanya video kenangan proses pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Baru menjadi memori mereka termasuk ketika van jenazah bapanya dalam perjalanan ke tanah perkuburan.

"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk saudara sebelah ayah yang menguruskan pengecaman jenazah, urusan pengebumian, upah penggali kubur dan bersama-sama dalam perjalanan menghantarnya ke kubur," katanya yang tinggal di Peringgit di sini.

Dia yang juga anak kedua daripada tiga beradik turut reda dan menerima hakikat tidak boleh menatap dan mencium jenazah buat buat kali terakhir.

Menurutnya, proses menguruskan jenazah bapanya amat lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Salina berkata, beberapa saudaranya juga dapat melihat dari dalam kereta dan dari luar pagar tanah perkuburan sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Sementara itu Ponya pula berkata, dia juga reda dengan apa yang berlaku kerana semuanya ketentuan Illahi yang mengatur perjalanan kehidupan dunia dan akhirat.

Doanya, semua ahli keluarganya serta seluruh penduduk di Malaysia dan dunia juga bebas daripada wabak berkenaan walaupun terdapat cucu serta anak saudaranya yang positif.

Salina Ramli, 45 (kanan) menatap video pengebumian Allahyarham ayahnya yang dikebumikan akibat Covid-19. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Salina Ramli, 45 (kanan) menatap video pengebumian Allahyarham ayahnya yang dikebumikan akibat Covid-19. FOTO NAZRI ABU BAKAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:42 PM