PENGERUSI CSM, Zuraini Kamal (kiri) ketika melawat Ahmad Naufal Rayyan yang menghidap kanser otak sambil ditemani ibunya, Nurul Alia Ahmad Haizal. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PENGERUSI CSM, Zuraini Kamal (kiri) ketika melawat Ahmad Naufal Rayyan yang menghidap kanser otak sambil ditemani ibunya, Nurul Alia Ahmad Haizal. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Semua barangan niaga kosmetik secara dalam talian yang saya ada, habis dijual untuk menampung kos rawatan Ahmad Naufal yang menghidap kanser otak (Germ Cell Tumor).

"Sekarang saya hanya bergantung harap pada suami yang bekerja sebagai penghantar barang kurier untuk menyara kehidupan keluarga selain kos rawatan anak," kata Nurul Alia Mohd Haizal, 28.

Menurutnya, anaknya bongsunya, Ahmad Naufal Rayyan Ahmad Nasrul Rifdy, 12 bulan, dikesan menghidap kanser otak pada April lalu dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, dia yang dulunya berniaga untuk membantu suami, Ahmad Nasrul Rifdy Ahmad Ramzi, 28, menyara keluarga terpaksa berkorban menjual semua barangan yang ada termasuk barang kemas demi anak mereka itu.

"Kami mempunyai seorang lagi anak, Nur Arissa Rania, 2, yang terpaksa ditinggalkan bersama nenek di rumah jika saya dan suami bergilir menjaga Ahmad Naufal di HPP.

"Wang simpanan kami juga sudah habis dan terpaksa berharap dengan keluarga untuk membantu kos perjalanan, makan minum serta rawatan ke Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Abadi Fasa 2, Jalan Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Menurutnya, Ahmad Naufal Rayyan terpaksa berulang-alik ke HSB dan HPP mengikut temu janji doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan rawatan kemoterapi serta radioterapi hampir setiap bulan.

Katanya, pada peringkat awal ini, mereka kerap berulang-alik ke dua hospital berkenaan hinggakan hospital ibarat rumah kedua mereka.

"Suami pula tak boleh tinggal kerja, jadi saya berharap pada ayah untuk menghantar saya ke Pulau Pinang dan tinggalkan saya di sana sehingga Ahmad Naufal dibenarkan pulang.

"Untuk ke HSB pula, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing jika terpaksa pergi seorang diri membawa Ahmad Rayyan jika tiada sesiapa untuk hantar kami.

"Ini kerana saya takut nak memandu kereta kerana bimbang dia diserang sawan yang boleh menyebabkan saya panik," katanya.

Menurutnya, dia sanggup bersusah payah walaupun dulu ligat berniaga mencari wang termasuk menjual makanan vendor tetapi nasibnya berubah selepas anaknya sakit.

Katanya, dia menerima segala ujian ini asalkan anaknya mendapatkan rawatan dan sihat seperti sedia kala.

"Sebelum ini saya memang tertekan sebaik mengetahui anak disahkan menghidap kanser namun lama-kelamaan saya boleh terima," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 152219028330 (Nurul Alia Mohd Haizal).

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengunjungi kanak-kanak itu turut memberi sokongan kepada ibunya supaya meneruskan rawatan di hospital malah pihaknya bersedia membantu memberi sokongan pada bila-bila masa supaya mereka tidak rasa terpinggir ketika diuji.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan CSM untuk meringankan beban yang dipikul mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:26 PM