ANTARA pekerja premis perniagaan yang diperiksa anggota DBKL ketika serbuan. FOTO Ihsan DBKL
ANTARA pekerja premis perniagaan yang diperiksa anggota DBKL ketika serbuan. FOTO Ihsan DBKL
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua rumah urut di Seputeh di sini, yang disyaki beroperasi tanpa lesen ditutup serta-merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam serbuan, semalam.

DBKL menerusi kenyataan berkata, serbuan menerusi Operasi Tindakan Khas Pusat Urut itu dijalankan pegawai dan anggota penguat kuasa susulan maklumat dan risikan dilakukan.

"Dalam serbuan dilakukan, dua premis tidak mempunyai lesen perniagaan sah dikenakan tindakan tutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Pasukan serbuan turut menyita barangan yang berkaitan dengan perniagaan premis itu. Kesemua barangan disita dihantar ke stor DBKL di Jalan Lombong, Cheras," katanya.

Selain itu, DBKL berkata, sebanyak tujuh notis kompaun dikeluarkan pihaknya terhadap premis yang melakukan pelbagai kesalahan.

Katanya, tindakan dibuat mengikut Seksyen 79(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, UUK 3(1) dan UUK 20(1)(b), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta UUK 5(1), UUk Iklan (WP) 1982.

Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 4:46 PM