ANTARA yang ditahan dalam serbuan di pusat urut semalam. FOTO ihsan DBKL
ANTARA yang ditahan dalam serbuan di pusat urut semalam. FOTO ihsan DBKL
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tiga pusat urut dikesan menawarkan kegiatan seks songsang yang dikendalikan tukang urut gay.

Kegiatan itu dikesan melalui serbuan di tiga premis di Kepong Baru, Taman Melati Utama Setapak dan Jalan Lombong Taman Miharja, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) melaksanakan Operasi Tindakan Khas terhadap premis urut yang beroperasi tanpa lesen.

"Menerusi aduan dan maklumat diterima, DBKL membuat siasatan serta risikan awal dan mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di lokasi berkenaan.

"Hasil serbuan mendapati dua premis tidak mempunyai lesen perniagaan rumah urut," katanya.

Menurutnya, hasil serbuan di tiga premis berkenaan, seramai lima wanita tukang urut dan empat lelaki Vietnam, Indonesia dan Pakistan ditahan.

"Semua tangkapan akan diambil keterangan bagi proses dokumentasi DBKL dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Tindakan ini dilakukan mengikut peruntukan undang-undang, bidang kuasa serta prosedur operasi standard (SOP) DBKL dan polis," katanya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan dua notis kompaun Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), satu notis kompaun UUK 20(1)(b) dan satu notis kompaun UUK 20(1)(e) di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 diambil.

"Selain itu arahan penutupan serta-merta terhadap tiga premis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Tindakan meroboh dan memecah sekatan terhadap 25 struktur dinding yang dijadikan bilik tanpa kelulusan juga dibuat mengikut Seksyen 79, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 selain tindakan sita ke atas 53 pelbagai peralatan di premis terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 12:55 PM