ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat urut yang menawarkan khidmat seks sejenis di Cheras, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL
ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat urut yang menawarkan khidmat seks sejenis di Cheras, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan songsang sekumpulan lelaki yang menawarkan khidmat seks sejenis di sebuah pusat urut di Cheras, di sini, terbongkar dalam serbuan semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) melaksanakan Operasi Tindakan Khas terhadap sebuah premis urut yang beroperasi tanpa lesen petang semalam.

"Berdasarkan maklumat, kami mendapati terdapat aktiviti tidak bermoral iaitu khidmat urutan bagi golongan gay di tingkat dua premis berkenaan membabitkan lapan bilik yang dijadikan tempat urut dan aktiviti seks sejenis.

"Hasil semakan juga mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen sah sebagai pusat urut daripada DBKL," katanya.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan terhadap premis itu mendapati seramai lima lelaki warga Vietnam, Syria dan Indonesia bertindak sebagai tukang urut.

"Dua lagi lelaki Myanmar sebagai pelanggan dan seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan dan diambil keterangan bagi proses dokumentasi.

"Kami mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

"Selain itu, tindakan sita turut diambil membabitkan 25 pelbagai peralatan premis membabitkan kondom, gel pelincir dan lain-lain barangan.

"Pada masa sama, premis berkenaan turut ditutup serta merta selaras dengan Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan warga kota diminta terus memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat kepada pihak DBKL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 1:16 PM