Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Datuk dan nenek kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan pembebasan kedua-dua individu berkenaan.

"Mereka hanya ditahan 24 jam untuk diambil keterangan dan akan dibebaskan hari ini.

"Pembebasan hanya akan dibuat di IPD Petaling Jaya dan tidak akan dibawa ke mahkamah (untuk reman),"katanya.

Semalam, suami isteri itu ditahan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Selangor jam 2.30 petang.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan mereka bagi membantu siasatan pembunuhan Zayn Rayyan.

Pada hari yang sama, datuk dan nenek Zayn Rayyan itu bersama anaknya hadir di Kompleks Mahkamah di sini, selepas dimaklumkan mengenai menantu perempuannya iaitu ibu kanak-kanak terbabit direkod keterangan di hadapan majistret.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 11:49 AM