JPV menasihati penternak tempatan supaya tidak terbabit dengan aktiviti membawa masuk haiwan ternakan dengan cara salah.
JPV menasihati penternak tempatan supaya tidak terbabit dengan aktiviti membawa masuk haiwan ternakan dengan cara salah.
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sempena Aidiladha, 27 rumah sembelih Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di seluruh Semenanjung sedia untuk beroperasi dan 10 daripadanya sudah memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan import dari Australia.

Pada kenyataan kepada Harian Metro, JPV berkata, penyembelihan yang dijalankan di luar rumah sembelih, sebagai contoh masjid, sekolah, taman perumahan dan lain-lain diberi kebenaran melalui permohonan permit penyembelihan luar.

Katanya, permit penyembelihan luar juga boleh dipohon di JPV negeri, daerah dan rumah sembelih JPV.

"JPV juga sudah menerbitkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban untuk dijadikan panduan. Ia mengambil kira aspek kebajikan haiwan, keselamatan makanan dan undang-undang, peraturan mengenai pemantauan ternakan korban, premis penyembelihan, operasi penyembelihan serta pengurusan sisa ternakan untuk mengelakkan risiko jangkitan penyakit zoonotik.

"Syarat-syarat perlu dipatuhi oleh rumah-rumah penyembelihan dan di luar rumah sembelih mengikut perundangan.

"Mana-mana operasi di rumah penyembelihan perlu dilesenkan di bawah Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993.

"Manakala, penyembelihan di luar rumah penyembelihan diluluskan atau dilesenkan perlu mendapat permit penyembelihan luar seperti yang dinyatakan dalam Kaedah 13 (1) (a) (b) (c) (d), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, JPV mewajibkan lesen rumah sembelih swasta dan juga permit sembelihan luar bertujuan bagi kawalan penyakit berjangkit daripada merebak, kawalan pencemaran dan memastikan karkas/daging yang dikeluarkan untuk kegunaan orang awam adalah selamat untuk dimakan.

JPV berkata, Permit Sembelihan Luar (PSL) boleh dimohon dua minggu sebelum Aidiladha sehingga 20 Jun ini (13 Zulhijjah 1445H).

"Lesen rumah sembelih swasta boleh dipohon dengan mengisi borang permohonan di https://www.dvs.gov.my/index.php/pages/view/1982

"Bagi permohonan permit sembelihan luar, pemohon perlu merujuk Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah ketika mendapatkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) ternakan bagi lokasi pengeluaran permit sama ada perlu dimohon di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah atau Rumah Sembelih Jabatan yang terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 8:38 AM