Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang mengeluarkan sebanyak 1,588 permit menyembelih ternakan korban sempena Aidiladha, esok.

Pengarah JPV Pahang Dr Kamaliah Ghazali berkata, permit itu bagi penyembelihan 3,151 lembu, kerbau (194), kambing (52) dan tujuh biri-biri.

Menurutnya, sebanyak 972 premis di Pahang pula diberi kebenaran untuk mengadakan ibadat korban atau sembelihan namun perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) terutama membabitkan keluasan tempat.

"Premis dibenarkan antaranya rumah sembelihan milik JPV, rumah sembelihan swasta yang dilesenkan, masjid, surau serta kandang atau tempat yang mempunyai kemudahan sembelihan haiwan.

"Seramai 24 pegawai JPV Pahang akan melakukan pemantauan serta pemeriksaan daging di setiap tempat sembelihan yang memiliki permit dikeluarkan JPV," katanya dihubungi di Kuantan hari ini.

Dr Kamaliah berharap penyembelihan dilakukan tidak mengenepikan aspek kebajikan ternakan dan paling utama semua pihak mematuhi SOP pemulihan Covid-19.

"Pegawai JPV yang memantau akan memberi cadangan serta nasihat sepanjang ibadat korban dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 6:21 PM