Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi. FOTO AIZAT SHARIF
Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Polis percaya wanita warga Thailand yang dilarikan tiga individu dari Gunung Keriang, Kedah hingga ke Jejawi, Arau pada Sabtu lalu berkemungkinan membabitkan hutang urus niaga dadah.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, mangsa berusia 36 tahun dipercayai mengenali suspek termasuk suspek utama berusia 30, 38 dan 39 tahun.

Menurutnya, ini kerana mereka dipercayai pernah terbabit dalam urus niaga dadah.

"Siasatan awal mendapat mendapati punca mangsa yang tinggal di Alor Setar itu dilarikan bersama teman lelakinya berusia 18 tahun disyaki disebabkan masalah hutang berjumlah lebih RM2,000.

"Malah, hutang itu juga disyaki ada mempunyai hubung kait dengan urus niaga dadah antara mangsa dan suspek.

"Dan berkemungkinan mangsa pernah membeli atau berurusan membeli barang terlarang itu, namun tidak membayar wang kepada suspek," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Secara Tanpa Istiadat Kontinjen Polis Perlis Tahun 2024 di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jalan Raja Muda, di sini, hari ini.

Katanya, suspek utama kini masih dalam reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan berhubung kes pengedaran dadah.

"Kita sedang meneliti sama ada suspek ini aktif dalam pengedaran dan pemilikan dadah di sekitar Arau kerana berdasarkan 16 rekod jenayahnya membabitkan dadah serta dua rekod jenayah lain.

"Suspek lain termasuk mangsa dan teman lelakinya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kerana kes penculikan itu berlaku di daerah Kota Setar," katanya.

Sabtu lalu, polis berjaya menyelesaikan kes penculikan tidak sampai 24 jam apabila menyelamatkan mangsa selepas menyerbu sebuah rumah tumpangan di Jejawi, Arau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 1:58 PM