LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Kalbana Perimbanayagam dan Nurul Hidayah Bahaudin


PEMILIK restoran, 39, yang ditembak mati di hentian bas berhampiran sebuah sekolah rendah di Serdang, semalam dipercayai bermotifkan persaingan dalam urus niaga penjualan dadah.

Sumber polis berkata, mangsa dipercayai mempunyai hubungan dengan rangkaian pengedar dadah yang aktif di daerah Serdang.

"Ada beberapa sudut sedang diteliti pihak polis dalam kes ini termasuk pembabitan mangsa dalam kegiatan pengedaran dadah di Serdang yang boleh menjadi antara motif dia dibunuh.

"Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap mangsa dalam urusan jual beli (dadah)," katanya.

Katanya, mangsa pernah ditahan pihak polis sebelum ini berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Mangsa mempunyai rekod jenayah lampau yang menjadi elemen kepada penyiasatan polis berhubung motif pembunuhannya.

"Pada masa sama, polis turut menyiasat sekiranya mangsa ada pembabitan dalam mana-mana kumpulan kongsi gelap," katanya.

Sementara itu, sepupu mangsa, 32, mendakwa mangsa tidak terbabit dalam sebarang aktiviti haram.

Menurutnya, lelaki itu dianggap 'bersih' daripada kegiatan yang boleh mengundang sebarang masalah.

"Rutin hariannya setiap hari penuh dengan aktiviti menguruskan restoran dan anak-anaknya termasuk menjemput dua anaknya dari sekolah sebelum pulang ke rumah pada sebelah petang.

"Dia jarang berada di luar kerana kebanyakan masanya dihabiskan di rumah atau restoran," katanya ketika ditemui di Unit Patologi dan Forensik, Hospital Serdang, hari ini.

Menurutnya, ahli keluarga masih terkejut dengan berita pemergian mangsa terutama isterinya yang paling teruk terjejas.

"Kami (keluarga) tertanya-tanya siapa yang sanggup bunuh dia. Perwatakannya sangat tenang dan dia juga seorang yang peramah menyebabkan ramai pihak senang mendekatinya serta ramai kawan.

"Setahu saya, dia tidak mempunyai musuh, namun tidak dapat dipastikan jika kejadian ini ada kaitan dengan persaingan perniagaan restoran yang diusahakannya,” katanya.

Difahamkan, mayat mendiang akan dibawa ke Taman Seri Pagi, Senawang, Negeri Sembilan untuk disemadikan.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan mangsa maut selepas ditembak seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal ketika menunggu anak lelakinya, 8, di hadapan sekolah itu pada 5.45 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat memaklumkan seorang lelaki, 30-an, turut cedera di bahagian belakang badan akibat kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Serdang.

Berita berkaitan

Maut ditembak depan sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 6:27 PM